Seorang lelaki ditetak oleh saudara kembarnya sendiri akibat nasi yang dimasaknya dikatakan terlalu pedas. Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa, B Vellakumar, 28, parah ditetak di kepala dan badan di sebuah rumah di Kampung Tebong kelmarin.
Difahamkan ketika kejadian mangsa sedang memasak nasi goreng untuk makan malam di dapur sebelum suspek dikatakan datang menjamah nasi berkenaan. Mangsa yang juga tukang paip berkata, saudara kembarnya yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol itu masuk ke dapur dan memberitahu dirinya lapar lalu mengambil pinggan sambil bersiul.
“Sebaik selesai masak, dia (suspek) datang ke dapur mengambil pinggan lalu mencedok nasi goreng itu sebelum terdengar dia merungut di luar rumah dan mendakwa nasi berkenaan terlalu pedas. Saya bagaimanapun tidak mengendahkannya dan terus menuju ke ruang tamu sambil bersembang dengan abang ipar berusia 27 tahun yang sedang berehat. Tidak lama kemudian, dia tiba-tiba menjerit kuat memaklumkan nasi dimasak pedas dan saya terus ke arahnya sambil berkata ‘kalau tak nak pedas, masak sendiri,” jelas mangsa yang berusia 28 tahun itu.
Vellakumar berkata, kembarnya yang berang itu kemudian meluru ke arahnya lalu melibas sabit tepat mengenai kanan kepala selain pipi kiri dan bahu kanannya. Belum sempat dia memalingkan mukanya ke belakang, suspek (kembarnya) datang melibas sabit dan menetak di kepala sehingga matanya berpinar melihat darah yang mengalir. Sambil menekup kepala yang cedera, suspek dilihat mencampakkan sabit itu di sekitar rumah sebelum melarikan diri meninggalkannya terbaring menahan kesakitan.
Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaffar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, suspek yang bersenjatakan sabit dipercayai menetak mangsa bertubi-tubi sebelum melarikan diri. Polis sedang memburu suspek yang dipercayai masih bersembunyi di sekitar daerah ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sumber : myMetro