Jabatan Penerangan Malaysia semalam menjelaskan bahawa ia tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, berkata pihaknya mengesyaki berita palsu berkenaan disiar melalui sistem e-Akhbar dan e-Press selepas laman sesawang jabatan itu digodam pihak tertentu.
Buat laporan polis
“Kami akan membuat laporan polis mengenai perkara ini dan menyerahkan kepada pihak berkuasa terbabit untuk melakukan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sementara itu, Ibrahim membuat laporan polis di Balai Polis Putrajaya di Presint 7, di sini, kira-kira jam 4 petang semalam. Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi mengesan individu yang menggodam laman sesawang jabatan berkenaan.