Beberapa jemaah yang sedang bersedia untuk menunaikan solat Isyak dikejutkan dengan dua das tembakan yang telah merosakkan cermin Surau Baitularhman Aman Perdana, Kapar, Klang, malam tadi. Dalam kejadian sekitar pukul 8.20 malam itu, beberapa jemaah lelaki dan wanita berada di tingkat dua surau berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong, mereka terkejut selepas cermin utama surau yang menghadap jalan pecah. Pemeriksaan mendapati terdapat dua kesan tembakan yang disasarkan ke arah cermin tersebut.
Menurut beliau, dipercayai individu yang melepaskan tembakan tersebut menggunakan pistol angin yang tidak mengeluarkan bunyi dan peluru yang digunakan adalah ball bearing. Walau bagaimanapun, tiada jemaah yang cedera dalam insiden tersebut.
Motif sebenar tembakan belum diketahui lagi dan masih dalam siasatan. Mohamad Shukor berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditempatkan di lokasi berhampiran surau berkenaan tidak dapat merekodkan kejadian tersebut. Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.
P/S : Pistol angin dijual secara terbuka di laman sosial Facebook. Mohon pihak polis pantau dan ambil tindakan yang sewajarnya.