Polis belum menerima laporan berhubung kejadian simbahan asid di sekitar Shah Alam, Subang Jaya serta Kota Damansara seperti yang didakwa beberapa laman sosial serta SMS yang tersebar sejak kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata polis percaya dakwaan berkenaan hanya khabar angin.
“Kalau benar ia berlaku, mangsa, keluarga atau jiran pasti akan membuat laporan polis mengenai perkara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai maklumat yang tersebar menerusi SMS mendakwa seorang wanita disimbah asid di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) jam 8.15 malam dan mangsa kedua pula disimbah di Pusat Beli Belah Summit, Subang Jaya, jam 9.30 malam.
SMS berkenaan turut meminta orang ramai upaya membantu mengesan seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda EX5.