Genre: Ngeri / Seram
Tarikh Tayangan: 28 Februari 2013
Masa Tayangan : 95 minit
Pengarah: Scott Stewart
Pelakon: Keri Russell, Josh Hamilton, Dakota Goyo, Annie Thurman, Michael Patrick McGill, Trevor St. John, Ariana Guido, Josh Wingate
Sinopsis :
Kehidupan sebuah keluarga yang tinggal di pinggir kota bertukar menjadi mimpi buruk setelah mengetahui kehadiran makhluk asing yang datang ke rumah mereka hampir setiap malam untuk mendekati anak-anak mereka. Anak bongsu keluarga Barret, Sammy memberitahu ibunya (Lacy) bahawa dia sering dikunjungi oleh ‘Sandman’ semasa tidur. Pasangan suami isteri ini terpaksa menyelesaikan masalah itu sendiri demi menyelamatkan anak mereka diculik oleh makhluk asing tersebut.
Review kami :
Dark Skies membuatkan kami tertanya-tanya tentang kewujudan makhluk asing di dunia ini. Ianya mengenai makhluk asing yang turun ke bumi dengan satu tujuan tertentu. Pada mulanya, kami mengagak jalan cerita filem ini adalah sama dengan filem makhluk asing yang lain namun ia adalah sebaliknya!
Kisahnya bermula apabila sebuah keluarga kecil yang terdiri daripada empat orang ahli keluarga ditimpa dengan masalah-masalah sejak bapa mereka, Daniel Barret hilang pekerjaan. Semuanya bermula ketika anak bongsu mereka, Sammy memberitahu akan kehadiran ‘Sandman’ dalam mimpinya.
Pada mulanya isteri kepada Daniel, Lacy, terjaga pada tengah malam dan mendapati barang-barang dan makanan di dapur telah disusun mengikut satu bentuk simbol yang pelik. Sejak malam itu, keluarga ini dilanda pelbagai masalah dan banyak kejadian aneh dan alahan yang pelik berlaku kepada mereka. Walau bagaimanapun, Daniel tetap tidak mempercayai Lacy bahawa ada sesuatu di dalam rumah tersebut. Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap sudut dalam rumahnya.
Keputusan Daniel meletakkan CCTV tersebut membuatkan beliau mula percaya dengan isterinya setelah melihat kelibat makhluk asing yang berkeliaran di rumahnya. Mereka mengambil keputusan untuk berjumpa dengan seorang yang pakar. Namun, pakar tersebut mengatakan adalah mustahil untuk mereka menghalau makhluk asing tersebut kecuali mereka sekeluarga bersatu semula.
Gabungan efek bunyi dan suasana yang cemas membuatkan kami menonton filem ini sambil menutup mata. Banyak detik-detik cemas yang membuatkan kami berdebar dan terkejut semasa menonton filem ini. Nampaknya pengarah filem Paranormal Activities dan Sinister, Scoot Stewart sekali lagi telah berjaya menghasilkan satu filem seram yang boleh membuatkan anda terkejut dan menjerit ketika menonton filem tersebut.
Adakah Daniel dan Lacy akan bersatu semula demi keselematan anak-anak mereka? Berjayakah mereka menghalau makhluk asing tersebut? Jika anda ingin tahu apa yang berlaku seterusnya, nantikan filem ini yang bakal ditayangkan di pawagam pada 28 Februari 2013!