Beberapa hari lepas seorang pembantu rumah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana mendera bayi berusia empat bulan. Tetapi kali ini, seorang pembantu rumah sedang bertarung dengan maut di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas dibelasah oleh seorang penyamun yang memecah masuk rumah majikannya di Kuantan. Dia dipercayai dibelasah dengan menggunakan kayu sepanjang satu meter.
Kejadian itu berlaku sekitar jam 10 pagi di rumah majikannya di Lorong Sekilau 61, Taman Perdana, Jalan Haji Ahmad, Kuantan. Mangsa, Bahriah Amaq Limah, 30, dari Lombok Tengah, Indonesia, parah di kepala, muka dan mata kanan akibat dihentak dengan kayu sebelum penyamun berkenaan melarikan diri bersama hasil rompakan dianggar bernilai RM7,000.
Ketika kejadian, mangsa hanya tinggal berdua dengan ibu mentua majikannya yang berusia 70 tahun dan sedang melakukan rutin harian membersihkan bahagian atas rumah dua tingkat itu manakala warga emas berkenaan berada di dapur.
Majikan mangsa yang mahu dikenali sebagai Hee, 37, berkata wanita yang baru tiga bulan bekerja dengannya itu kini terlantar di ICU HTAA dan masih tidak sedarkan diri. Hee yang merupakan seorang peniaga bergegas pulang selepas mendapat panggilan telefon daripada ibu mentuanya yang memaklumkan kejadian berkenaan.
Sumber : myMetro