Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam proses menyediakan bukti-bukti termasuk daripada sudut agama Islam sebelum mengemukakan cadangan kepada Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan supaya mewartakan fatwa haram membeli cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, syor itu difikirkannya selepas beliau melihat langkah tersebut dilaksanakan di Indonesia dan berjaya mengatasi gejala cetak rompak di republik tersebut.
“Kita akan mendapatkan secara terperinci tentang fatwa dan dalil dari segi ayat al-Quran dan hadis serta rasional fatwa berkenaan.
“Kementerian juga akan berbincang dengan Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia secara mendalam selepas selesai mengumpulkan bukti,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan fatwa haram di Indonesia itu diketahui oleh rakan sejawatannya di negara berkenaan baru-baru ini dan mendapati ia memberi kesan positif kepada umat Islam di republik berkenaan.
Katanya, masalah kewujudan VCD dan DVD cetak rompak tidak akan dapat dibanteras sepenuhnya tanpa kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat mengenai keburukan membeli barangan tersebut.
“VCD dan DVD cetak rompak hanya dapat dimansuhkan sepenuhnya jika tiada pengguna mahu membeli barangan berkenaan kerana masalah tersebut bergantung kepada konsep permintaan. Selagi wujud permintaan selagi itulah masalah ini akan terus berlarutan meskipun pihak KPDNKK melakukan banyak serbuan dan kempen penerangan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berharap masyarakat Islam menyedari bahawa pembelian VCD dan DVD cetak rompak adalah salah kerana ia merampas dan mencuri hak orang lain.
Orang sekarang dah tak beli dah VCD dan DVD cetak rompak.. orang sekarang pakat download je..