Bukan mudah untuk memilih pasangan sejati kerana keperibadian pasangan akan membawa impak besar terhadap kebahagiaan hidup seseorang. Sekiranya keperibadian pasangan anda lebih menjurus ke arah negatif, dikhuatiri akan menjadi racun terbesar dalam hubungan. Apa yang pasti, anda tentunya berharap dapat menemui pasangan yang memiliki keperibadian positif kerana kriteria tersebut bakal membawa anda mengecapi keharmonian dan kebahagian kelak!
Oleh yang demikian, kami mahu berkongsi beberapa ciri-ciri untuk kenali jenis lelaki yang berperwatakan negatif yang perlu anda jauhi.
Takut komitmen
Amat sukar membentuk seseorang untuk memiliki komitmen diri. Sekiranya hubungan yang terjalin telah lama berlansung tetapi dia masih belum menunjukkan sebarang komitmen, sebaiknya tinggalkan sahaja. Lelaki jenis ini bukan sahaja tidak mempunyai perancangan masa depan yang jelas, namun dia juga sebenarnya tidak berhasrat untuk menjalinkan hubungan yang serius dengan pasangannya. Lebih memeritkan apabila mereka mempunyai sifat cemburu yang sangat tinggi sehingga sanggup menyekat anda daripada bersosial atau bersahabat dengan orang lain.
Tidak tahu berdikari
Hubungan yang baik biasanya mempunyai persefahaman, sikap terbuka dan saling berbincang bagi menyelesaikan masalah. Bagaimanapun, apa akan terjadi sekiranya si dia hanya tahu mengeluh dan larikan diri daripada masalah yang sedang anda berdua hadapi. Sebaiknya, anda hindari mereka yang berperangai sebegitu kerana mereka merupakan golongan individu yang bergantung hidup pada seseorang dan pada masa yang sama tidak mampu jadi pelindung untuk kita.
Anak mak
Lelaki yang dikategorikan sebagai anak mak termasuk dalam golongan yang tidak tahu berdikari. Hidup mereka semuanya bergantung pada ibu. Setiap keputusan hidupnya dibuat oleh ibu. Jika pasangan anda tergolong dalam golongan ini, anda mungkin bakal ditimpa masalah apabila ingin menguruskan keperluan sendiri bila sudah berumah tangga kelak.
Bermata keranjang
Jika pasangan anda tergolong dalam golongan ini, anda mungkin sering kali makan hati dengannya. Golongan ini tidak akan pernah puas dengan pasangannya dan itu menyebabkan mereka dalam diam mengadakan hubungan sulit dengan wanita lain. Bagi mereka, asal tidak terlanjur bermakna mereka tidak mengkhianati pasangan mereka. Golongan ini pandai mengayat, mengambil hati dan bijak memujuk rayu serta sering memancing mangsanya dengan janji-janji manis. Berhati-hatilah dengan golongan ini kerana ia tidak akan membawa anda ke mana-mana.
Pendendam
Lelaki yang suka mengungkit kisah silam sebenarnya seorang yang pendendam. Tidak hairanlah jika dia menyimpan dendam jika hatinya disakiti. Jadi sebaik-baiknya, hindarilah lelaki jenis ini kerana apabila pasangannya melakukan kesalahan dia pasti tidak akan melupakannya. Sekiranya dia mempunyai kesempatan, dia akan mengunkit semua kesalahan pasangannya dan tidak mudah memaafkan meskipun pelbagai cara dilakukan untuk menebus kesalahan itu.