
Tindakan dua pelajar lelaki tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di ibu kota menyebabkan pihak sekolah terpaksa membuat laporan polis setelah bertindak kurang ajar mengugut dan memberi amaran kepada ustazah yang mengajar di sekolah berkenaan.
Mereka bukan saja memberi amaran kepada ustazah yang mengajar di sekolah supaya jangan campur tangan, malah turut mengugut mahu membunuh wanita berkenaan selepas ditegur kerana melakar tatu di tangan, selain membuat bising di dalam kelas.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 12 tengah hari itu, ustazah yang berusia 28 tahun pada mulanya menegur kedua-dua pelajar terbabit kerana membuat bising dan menggangu pembelajaran. Teguran ustazah tersebut mengundang rasa marah dua pelajar terbabit sebelum seorang daripada mereka memarahinya.
Berikutan itu, ustazah berkenaan menghampiri seorang daripada pelajar itu sebelum terkejut apabila mendapati ada tatu pada tangannya. Ustazah itu memeriksa tangan seorang lagi pelajar dan mendapati dia juga menemui tatu sama di tangan. Ustazah terbabit menegur kedua-dua pelajar berusia 14 tahun itu dengan memberitahu perbuatan mereka salah mengikut ajaran Islam serta peraturan sekolah.
Teguran ustazah itu menyebabkan pelajar terbabit bertambah berang lalu memarahinya serta memberi amaran supaya jangan masuk campur urusan mereka. Seorang daripada pelajar terbabit turut mengugut mahu membunuh wanita itu sekiranya terus campur tangan dalam urusan mereka.
Sumber berkata, menyedari kedua-dua pelajarnya itu sukar dikawal, ustazah terbabit kemudian menghubungi guru disiplin bagi mendapatkan bantuan. Kedua-dua suspek dibawa ke pejabat sekolah sebelum ustazah terbabit membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan.
Dalam laporan yang dibuat, pengadu mendakwa dua pelajar berkenaan menganggotai kumpulan samseng di luar sekolah dan siasatan awal polis juga mendapati seorang daripada mereka pernah disiasat kerana melakukan kesalahan jenayah.
Sumber : mymetro