
Semua kenderaan berkenaan yang akan dilepaskan, disita JPJ Selangor dari 2010 hingga 28 Februari 2013, membabitkan 995 buah motosikal, 209 buah kereta dan 190 kenderaan jenis lori dan bas. Semua pemilik kenderaan yang mahu menuntut kenderaan yang disita, diminta hadir ke JPJ Selangor dengan membawa dokumen yang lengkap bagi proses pelepasan kenderaan.
Pengarah JPJ Selangor Datuk Yusoff Ayob, berkata program itu diadakan untuk membantu pemilik berdaftar menuntut kenderaan mereka yang disita JPJ Selangor mengikut peruntukan Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemilik kenderaan yang disita sebelum Jun 2012 tidak akan dikenakan bayaran seperti kadar pengapitan, pengalihan dan penahan kenderaan. Bayaran akan dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang disita selepas Jun 2012, mengikut peruntukan Kaedah Pengangkutan Jalan 2012,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.
Difahamkan, pemilik kenderaan terbabit juga tidak perlu membayar saman kesalahan yang menyebabkan kenderaan mereka disita.
Yusoff berkata, kadar bayaran dikenakan ialah RM50 sehari bagi motosikal, kereta (RM100 sehari), bas dan lori muatan tidak melebihi 3,000 kilogram (kg) (RM200 sehari) dan kenderaan berat muatan melebihi 3,000 kg dikenakan bayaran RM300 sehari. Katanya, pemilik kenderaan yang disita dinasihatkan hadir ke JPJ Selangor untuk menuntut kenderaan mereka bagi mengelak dikenakan pembayaran.
“Jika kenderaan berkenaan tidak dituntut, JPJ boleh membuat lelongan awam terhadap kenderaan terbabit, mengikut peruntukan Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.