Cinta terhalang oleh orang tua menyebabkan lelaki nekad membakar kereta milik bapa teman wanitanya di Segamat, Johor. Dalam kejadian pada jam 3.30 pagi di Taman Seri Chaah, Chaah, lelaki berusia 25 tahun itu memanggil nama teman wanitanya sebelum wanita berkenaan menjenguk melalui tingkap bilik.
Menurut Ketua Polis Daerah Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, lelaki terbabit kemudian meminta wanita itu menyaksikan dia membakar kereta PROTON Wira milik bapanya.
“Usaha keluarga berkenaan memadamkan api gagal manakala pasukan bomba dan penyelamat yang tiba kemudian tidak sempat menyelamatkan kenderaan berkenaan yang hangus keseluruhannya,” katanya.
Wanita berkenaan berada di rumah keluarganya kerana sedang bercuti daripada pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di utara tanah air. Bapa wanita berkenaan yang berusia 50-an dan bekerja di sebuah syarikat swasta di pekan Chaah melaporkan kejadian di Balai Polis Chaah.
Suspek kini sudah ditahan, merupakan warga tempatan dan tidak mempunyai pekerjaan tetap. Suspek mendakwa tidak berpuas hati dengan tindakan keluarga teman wanitanya yang tidak merestui hubungan mereka. Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan bahan bakar. – mymetro
p/s: Tiba-tiba penulis teringat lagu Dia oleh Fauziah Latiff – ‘cinta terhalang oleh orang tua’….Susahnyaa