Menurut laporan akhbar Berita Harian, Mahkamah Perancis telah mensabitkan kesalahan terhadap seorang wanita kerana menutup muka sepenuhnya di khalayak ramai dan menolak usahanya yang mahu memastikan larangan pemakaian burqa ( purdah ) di negara itu tidak menepati Perlembagaan.
Wanita yang memakai burqa itu, Cassandra Belin, 20, juga disabitkan bersalah menghina dan mengugut tiga anggota polis ketika ditangkap, yang mencetuskan rusuhan selama dua hari di bandar Trappes, berhampiran Paris pada Julai 2013.
Selain itu juga suami Belin, Michael Khiri, ditangkap kerana menghina salah seorang pegawai yang memberhentikan isterinya di Trappes pada bulan Ramadan lepas. Ini membawa kepada perhimpunan orang ramai di kawasan perumahan pasangan itu, di mana beratus-ratus pendatang terutamanya yang beragama Islam tinggal.
Bataille berkata, beliau akan mengemukakan rayuan dan berikrar untuk terus berjuang memastikan larangan itu ditarik balik. Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah dijangka mengeluarkan arahan lewat tahun ini dalam kes yang dibawa penduduk Islam Perancis yang menegaskan larangan memakai burqa mencabul hak kebebasan beragama, kebebasan bersuara dan kebebasan berkumpul, serta melanggar larangan diskriminasi.
Pengkritik berkata, jika keselamatan menjadi pertaruhan, topi keledar juga perlu diharamkan. Secara teori, larangan meliputi semua pemakaian yang menutup muka tetapi tangkapan cuma dilakukan ke atas wanita Islam yang berpakaian demikian. –Berita Harian