Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam beberapa tahun kebelakangan ini. Jenis demam denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah. Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak dan juga orang dewasa di kebanyakan negara hari ini. Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya.
Kebiasaannya, demam denggi bermula dengan demam mengejut, dengan sakit kepala teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot (myalgias dan arthralgias, sakit pinggang yang teruk menyebabkan ia juga digelar demam tulang-pecah – break-bone fever) dan gatal-gatal. Vaksin untuk penyakit denggi masih belum ada. Namun begitu, beberapa kemajuan telah dicapai dalam proses penghasilan vaksin yang mampu melindungi manusia dari virus denggi.
Cara demam denggi merebak
Demam denggi didapati berlaku di kawasan bandar dan juga luar bandar. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa kuman virus denggi menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat denggi. Demam denggi menyerupai demam selsema dan ciri klinikalnya berbeza-beza mengikut umur pesakit. Apabila nyamuk Aedes betina menggigit manusia atau haiwan ia akan memasukkan sekali virus denggi yang ada di dalam air liurnya ke dalam sistem aliran darah manusia. Apabila nyamuk Aedes betina menghisap darah manusia yang mengandungi virus denggi ia akan melengkapi kitaran hidup virus tersebut dan menyebarkan kepada orang lain.
Simptom demam denggi
Peningkatan suhu badan yang mendadak, diikuti gejala-gejala lain yang tidak khusus seperti merah muka dan lain-lain gejala demam denggi yang tidak spesifik.
Kanak-kanak : demam yang sukar dibeza-bezakan beserta dengan kemunculan ruam.
Orang dewasa : sindrom demam yang tidak serius ataupun demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk, ruam dan sakit di belakang mata, otot dan sendi.
Pemeriksaan Kesihatan
Pemeriksaan darah digunakan untuk membantu dalam diagnosis demam denggi. Kiraan sel platlet yang rendah (trombositopenia) dan kepekatan hematokrit (hemokonsentrasi) yang tinggi lazimnya dikesan
Ujian serologi menawarkan kaedah yang paling cepat dan ringkas untuk mengesahkan diagnosis klinikal demam denggi. Pengasingan virus merupakan kaedah diagnosis yang paling boleh dipercayai.
Langkah pencegahan
Nyamuk Aedes membiak di dalam takungan air jernih di dalam dan di luar rumah. Ia tidak boleh membiak di dalam air yang kotor.
Berikut adalah langkah-langkah pencegahan utama:
- Perlindungan dari gigitan nyamuk.
- Elak dari melawat atau berkunjung ke kawasan berisiko tinggi pada siang hari.
- Musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk.
- Hapuskan nyamuk Aedes dewasa.
Sumber : Unit Vektor, JKNPK dan Wikipedia