Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menetapkan tempoh dua tahun untuk merobohkan baki lima daripada sembilan blok Flat Tunku Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Flat Pekeliling di Jalan Tun Razak dan proses itu bermula hari ini. Ia berikutan bagi menyegerakan projek pembangunan semula di kawasan itu yang meliputi pembangunan campuran termasuk blok kediaman dan perniagaan.
Flat Pekeliling adalah bangunan apartmen 17 tingkat yang telah dibina antara tahun 1964 dan 1967 yang merangkumi 11 blok rumah pangsa Blok A hingga Blok L (Blok A, Blok B (kedua-dua dirobohkan pada tahun 2006) dan terletak di Jalan Pekeliling (kini Jalan Tun Razak) dan Jalan Pahang. Flat berkenaan yang sudah pun dikosongkan sejak lewat 2008 dibiarkan usang dan bangunan yang ditinggalkan itu dikatakan menjadi sarang penagih dadah dan tempat bersembunyi bagi pengemis.
Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, proses perobohan flat tersebut secara berperingkat akan menggunakan kren dan jentera dari bahagian atas kerana strukturnya lebih sesuai begitu berbanding menggunakan kaedah letupan dan ia hanya akan memberikan kesan minimal. Kaedah ‘pecah dan hancur’ akan digunakan bagi kerja-kerja perobohan oleh kontraktor. Konkrit yang dihancurkan menjadi kepingan kecil itu akan dibuang ke kawasan kosong di tengah-tengah blok berkenaan sebelum dihantar ke pusat pembuangan sisa konkrit di Klang.
Fasa kedua perobohan flat itu dijadualkan bermula hari ini selepas perobohan fasa pertama pada 2005. Flat yang mula diduduki pada 1969 dan dibina di bawah Rancangan Malaysia Pertama (RMK1) itu merupakan rumah pangsa kedua selepas Perumahan Awam Razak Mansion di Sungai Besi bagi menempatkan golongan berpendapatan rendah dan penduduk setinggan. Usaha perobohan dijangka selesai pada November 2015.