Seorang lagi artis Malaysia yang mencipta nama di persada antarabangsa cuma kali ini anak kepada penyanyi era 80-an, Ibnor Riza iaitu Putri Norizah memilih untuk bertapak di Korea Selatan. Terdahulu, Putri Norizah mendapat tempat kedua dalam pertandingan akhir program realiti K-Pop Star Hunt musim ketiga pada Sabtu lalu.
Menurut Ibnor Riza anaknya itu sejak berusia tujuh tahun lagi anaknya menunjukkan minat dalam bidang nyanyian sehinggalah berjaya mengikat kontrak syarikat pengurusan artis terkenal Korea CJ E&M. Putri yang baru berusia 22 itu mendapat tempat kedua dalam program realiti itu pada pertandingan akhir yang diadakan di Singapura. Ketika pertandingan tersebut Putri mendendangkan dua buah lagu There is No Love nyanyian asal penyanyi Korea, Gummy dan sebuah lagu berbahasa Inggeris daripada Leona Lewis berjudul Homeless.
Persembahan Putri juga mendapat pujian daripada penyanyi sensasi dunia, Psy yang menyifatkan persembahannya cukup indah. Selain Psy, juri lain pada pertandingan akhir itu adalah penyanyi Lee Seung-chul dan Baek Ji Young. Komen yang mereka berikan cukup membuatkannya berasa rendah diri. Walaubagaimanapun, Putri tewas kepada peserta Taiwan Andy Su.
Malah kata Putri, dia tidak menyangka sambutan peminat Korea terhadapnya cukup luar biasa dan berharap dapat menawan industri muzik di negara itu suatu hari nanti. Difahamkan sebelum ini Putri pernah memasuki pertandingan nyanyian di Korea iaitu Super Star K pada tahun lepas. – mystar online