Cuba anda bayangkan baju yang anda pakai sebenarnya diperbuat daripada rambut manusia. Pelik! Takut! Tapi perkara ini terjadi di Chongqing, China apabila seorang pesara guru menghabiskan 11 tahun mengait baju sejuk dan topi yang diperbuat daripada rambutnya sendiri. Malah, perbuatannya itu adalah sebahagian daripada usaha menyimpan kenangan zaman mudanya.
Pesara guru bernama Xiang Renxian berusia 60 tahun itu mengumpul kira-kira 110,000 helai rambutnya yang gugur sejak berusia 34 tahun sebelum mengaitnya menjadi baju sejuk seberat 382 gram. Bukan itu sahaja, dia turut mengait sehelai topi seberat 119 gram untuk suaminya.
Menurut Xiang, dia menyimpan semua rambutnya yang melekat di sikat setiap hari dan mula menggunakan rambut itu untuk mengait. Setiap helai rambut yang dikaitnya sepanjang 70 hingga 80 sentimeter, manakala 15 helai rambut digunakan untuk membuat satu gumpalan benang bulu. Padanya tidak susah untuk menghasilkan baju sejuk dan topi menggunakan rambut, yang penting kesabaran dan kesungguhan. – via