Ramai di antara kita yang gemarkan sukan pada waktu malam, tapi awas kerana tanpa disedari anda mungkin boleh diserang penyakit berbahaya seperti darah tinggi dan masalah jantung. Aktiviti yang menjadi pilihan anak muda seperti bermain futsal, badminton pada waktu malam kini menjadi gaya hidup warga kota akibat kekangan masa bekerja sebenarnya dalam diam boleh menjadi ‘pembunuh senyap’.
Bukan itu sahaja, difahamkan aktiviti tersebut banyak menggunakan tenaga boleh bertukar menjadi gejala tidak sihat dan membahayakan kesihatan jika tidak diuruskan dengan baik. Hal ini menurut pakar perunding perubatan terkenal, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad secara purata seseorang menghabiskan lapan jam bekerja sehari dan memerlukan waktu rehat. Menurutnya, aktiviti bersukan selepas bekerja terutama pada waktu malam menyebabkan badan menjadi lesu kerana tubuh dipaksa bekerja keras dan banyak tenaga dikeluarkan.
“Kita memaksa badan untuk bekerja keras dengan aktiviti sukan yang berat dan boleh mengakibatkan tekanan darah kita meningkat naik sekali gus boleh menyebabkan masalah darah tinggi dan jantung. Bukan tidak boleh bersukan waktu malam, tetapi biarlah sukan yang ringan serta tidak menggunakan tenaga yang banyak seperti berenang dan berjoging,” katanya lagi.
Bukan itu sahaja aktiviti bersukan waktu malam sebenarnya mengganggu waktu tidur seseorang. Malah perkara ini akan mengganggu urusan kerja kita pada siang hari, kita sendiri akan lesu dan tidak bermaya untuk meneruskan tugasan harian akibat tidak mendapat rehat yang cukup.