Jika anda sedang merancang untuk bercuti di tempat yang romantis, pastinya bandar seperti Paris atau Venice kedengaran agak klise. Bagi anda yang mahukan kelainan, anda boleh memilih untuk ke Melbourne, Victoria , Australia iaitu lokasi yang pasti menjimatkan serta tidak kurang romantisnya.
Pelayaran di sungai, ladang anggur, restoran mewah dan kafe gaya-Eropah, pantai menakjubkan, destinasi spa, menunjukkan mengapa Melbourne, ibu kota Victoria, adalah destinasi ideal pasangan yang inginkan suasana lebih romantis dan juga digelar sebagai “Paris baru” di dunia.
Aktiviti di Sungai Yarra menawarkan peluang kepada pasangan yang inginkan pelayaran seperti di Venice di atas gondola dan anda boleh menikmati pemandangan di sepanjang tebing Yarra. Terdapat beberapa pakej yang berbeza yang ditawarkan, termasuk Cruise Romantik satu jam termasuk minuman, coklat dan sejambak bunga ros.
Jika anda sedang mencari muzik hebat dan suasana pesta, anda boleh mengunjungi acara makan malam White Night Melbourne pada 22 dan 23 Februari 2014. Acara itu akan menawarkan pesta sehingga ke pagi di mana jalan-jalan di Melbourne, lorong-lorong, mercu tanda dan institusi budaya berubah menjadi taman permainan budaya yang menawarkan lebih 12 jam muzik, teater, tarian, seni, makanan, filem, sukan dan banyak lagi.
Selain itu juga, jika anda mahu menonton wayang, anda boleh pergi ke Rooftop Cinema di atas Curtin House yang terletak di bandar Melbourne, iaitu di bangunan Art Nouveau yang mempunyai bar eksklusif. Melbourne Star iaitu menara yang menawarkan pemandangan 360 darjah tanpa gangguan sehingga 40km merupakan tarikan terbaru pelancong yang anda boleh lawati.
Melbourne merupakan destinasi ideal sama ada anda merancang percutian romantis untuk meraikan bulan madu anda, ulang tahun atau hanya mencari cara yang berbeza untuk menghabiskan Hari Kekasih.
Untuk maklumat lanjut, layari www.visitmelbourne.com