Semalam Mahkamah Daerah Solna, Sweden telah memutuskan bahawa pasangan Malaysia Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Norshal didakwa atas tuduhan mencederakan dan memukul empat anak mereka sejak September 2010. Dakwaan diputuskan sekitar jam 11 pagi (waktu tempatan, 6 petang waktu Malaysia). Menurut dokumen mahkamah yang diperolehi oleh New Straits Times pula, Azizul Raheem dan Shalwati didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mereka di Spångavägen dari 15 September 2010 hingga 17 Disember 2013.
Shalwati didakwa diatas kesalahan mencederakan Ammar , 12, yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik, dalam tempoh tiga tahun. Antara dakwaan terhadap Shalwati adalah dia telah mencederakan Ammar dengan tangannya dengan memukul beliau pada lengan , muka, leher dan badan. Shalwati juga didakwa menarik telinga dan memukul Ammar dengan menggunakan penyangkut baju, tali pinggang kulit dan batang kayu dalam tempoh tersebut.
Selain itu juga, dia didakwa menyerang dan mendera tiga anak lain iaitu – Aisyah , 15, Adam dan Arif, masing-masing berumur 12 tahun dan 8 tahun. Azizul Raheem juga didakwa diatas kesalahan menyerang dan mendera empat anak mereka. Jika sabit kesalahan , pasangan itu akan menghadapi hukuman penjara maksimum 10 tahun.
Sebelum ini kami pernah menulis satu artikel mengenai isu tentang sepasang suami isteri rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden sejak pertengahan Disember lalu, kerana memukul seorang anak mereka yang enggan bersolat menjadi semakin rumit apabila peguam pasangan itu membuat kenyataan kepada media tempatan, Astro Awani , mengenai anak guamnya yang dituduh pernah mendera anak mereka sebelum ini. Kristofer Stahre , peguam untuk Shalwati Nurshal berkata, bahawa dia telah dituduh memukul anak-anaknya beberapa kali dan beliau menambah yang anak guamnya tidak akan ditahan jika ia melibatkan satu kejadian sahaja.
Terkini, empat beradik anak pasangan warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden,memulakan sesi persekolahan selepas dibawa pulang ke negara ini 2 Februari lepas. Empat beradik itu, mula bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kala dan Sekolah Kebangsaan Padang Kala yang terletak berhampiran rumah mereka di Kampung Wakaf Tok Wali di Kelantan.