Buli bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Ini secara tidak langsung, menjadikan mereka yang lemah mematuhi atau menghormati mereka yang kuat. Ada maksud lain yang menyatakan bahawa buli bermaksud tingkah laku agresif sama ada dalam bentuk fizikal atau psikologikal yang dilakukan secara berulang kali ke atas mangsa dan ia bertujuan mendatangkan perasaan tidak selesa, aman, tenteram dan harmoni. Secara keseluruhannya, perbuatan membuli merupakan perbuatan yang tidak baik serta boleh membuatkan orang lain boleh menjadi mangsa serta boleh mendatangkan ketidak selesaan kepada orang lain.
JENIS-JENIS BULI
Buli fizikal – Melibatkan pukul-memukul, memeras ugut, menampar, menendang, menarik rambut, menolak, mencubit, atau sepak terajang hingga menyebabkan kecederaan. Paling ganas boleh menyebabkan kematian.
Buli mental – Lebih kepada ejek-mengejek. Misalnya, jika nama pelajar atau nama bapa pelajar agak luar biasa, maka itu akan dijadikan bahan ejekan pelajar senior yang membuli. Sungguhpun, kes buli jenis ini kurang mendapat perhatian media massa, ia sebenarnya serius berlaku di sekolah.
Bukan itu sahaja, mangsa buli akan mengalami kesan dalaman iaitu masalah psikologi. Hilang keyakinan diri, tiada matlamat hidup, rasa takut, mencederakan diri sendiri sehingga hilang semangat untuk hidup. Malah, ada yang teruk sehingga terfikir untuk bunuh diri seperti yang berlaku kepada 2 kes besar yang berlaku baru-baru ini. Kedua-duanya merupakan pelajar sekolah menengah dan merupakan mangsa buli.
KRONOLOGI ISU KANAK-KANAK/REMAJA BUNUH DIRI GARA-GARA DIBULI DI MALAYSIA
Disember 2013 – Kisah yang paling menggemparkan berlaku pada tahun lalu sekitar 13 Disember 2013 melibatkan seorang pelajar pelajar lelaki Maahad Tahfiz Kok Lanas yang dikatakan menggantung diri dengan keadaan separuh bogel (tidak berseluar) di dalam tandas asrama. Menurut laporan polis, mayat dijumpai oleh penyelia asrama, Zul Atfi Mohamad, ketika beliau membuat rondaan sekitar asrama sebelum terhidu bau busuk di tandas di tingkat bawah. Walaubagaimanapun, pihak polis mengklasifikasikan tragedi ini sebagai mati mengejut dan punca sebenar masih tidak diketahui.
Februari 2014 – Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun maut selepas meminum sebotol racun serangga dipercayai akibat tertekan kerana sering dibuli di sekolahnya. Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam tadi, mangsa, T. Kavinraj mati ketika menerima rawatan di sebuah klinik selepas meminum racun yang disimpan di dalam tandas di rumahnya di Seksyen 6, Bandar Rinching, Semenyih. Menurut ibu si mangsa, B. Thanamalar, 43, berkata mendiang T. Kavinraj sebelum ini sering mengadu dibuli rakan-rakan sejak mula mendaftar sebagai pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Bandar Rinching pada Januari lalu.
Buli di media sosial turut menjadi satu isu baru-baru ini dengan ejek-mengejek dan menghina seseorang individu di laman tersebut. Buli kepada wanita juga menjadi-jadi kebelakangan ini. Menurut portal berita tempatan, seorang peserta wanita bagi peraduan mencari angkasawan kedua negara Axe Apollo Malaysia telah dibuli di laman Facebook Axe Malaysia dan rata-ratanya memberikan komen berunsur seksis dan memperkecilkan kebolehan wanita.
Kes buli di sekolah telah menimbulkan suasana yang tidak selamat di sekolah. Hampir setiap hari di setiap sekolah di serata dunia akan menghadapi masalah dalam mendisiplin pelajar-pelajar mereka. Di Malaysia, kita boleh lihat sendiri gejala buli berlaku dalam sesebuah komuniti. Kes buli ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa.
Teringatkah anda peristiwa kematian pelajar Mohd. Hadzrin Mohamad setelah koma lapan hari akibat dibelasah sekumpulan remaja berhampiran sekolah di Cheras gara-gara berebut kekasih, pada tahun 2009. Hancur luluh lagi kerana kita sering mendengar berita demikian dan kes buli tidak ditangani dengan sewajarnya hingga kini.
Siapa yang patut bertanggungjawab terhadap masalah buli yang berlaku kepada remaja dan juga kanak-kanak? Ibu bapa? Pihak sekolah? Peranan ibu bapa dan guru-guru amat penting untuk memantau kawan-kawan kepada anak-anak mereka dan memastikan mereka tidak terjebak dengan geng buli. Guru-guru harus membantu memberitahu ibu bapa jika ada yang tidak kena. Ini kerana di sekolah anak-anak kita berkelakuan tidak sama di rumah. Kalau di rumah, pijak semut pun tak mati maka menyebabkan ibu bapa tidak mempercayai jika ada anak-anaknya terlibat dengan kes buli. Bila ditanya pada anak-anak yang terlibat maka alasan seperti kesibukan ibu bapa yang mengabaikan mereka.