Menurut definisi kamus Oxford, ‘selfie’ bermaksud mengambil gambar diri sendiri , biasanya dengan menggunakan telefon pintar atau webcam dan kemudiannya dimuat naik ke laman web sosial. Budaya ini kini telah menjadi trend yang begitu popular di kalangan rakyat Malaysia. Pemimpin-pemimpin negara seperti Presiden US Barack Obama pernah dilaporkanmengambil gambar secara selfie bersama dengan dua lagi pemimpin negara iaitu Perdana Menteri British , David Cameron dan Perdana Menteri Denmark, Helle Thorning Schmidt .Selain itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong juga pernah dilihat merakamkan gambar bersama Perdana Menteri negara kita Datuk Sri Najib Tun Razak secara selfie ketika menghadiri Mesyuarat Kerajaan Ketua-ketua Komanwel di Sri Lanka.
Menurut satu kajian daripada Pew Research Center, 91 % daripada golongan remaja pernah memuatnaik gambar selfie mereka di internet. Bukan sahaja golongan wanita, golongan lelaki juga tidak terlepas daripada budaya yang semakin meningkat popular ini. Ada yang berpendapat yang trend ini mampu menaikkan keyakinan diri seseorang di mana mengambil gambar secara selfie boleh mengawal sendiri ‘sesi fotografi’ tersebut termasuklah cara senyum dan angle wajah yang diinginkan.
Namun, tahukah anda budaya ini juga mampu membawa kesan negatif terhadap individu yang mempunyai hobi ini? Jabatan kesihatan Mental Thailand baru-baru ini melaporkan bahawa golongan yang terlalu obses dengan trend selfie ini berupaya untuk hilang keyakinan diri dan mampu menjejaskan kehidupan mereka. Timbalan Ketua Pengarah jabatan tersebut, Dr. Panpimol Wipulakorn telah menyatakan bahawa gejala itu boleh mendorong kepada masalah kesihatan mental,terutamanya yang melibatkan keyakinan diri dan perkara ini tanpa diduga akan menyebabkan kesan negatif kepada kehidupan seharian seseorang, kerjaya dan juga pembangunan negara.
Sedikit sebanyak, budaya selfie sebenarnya meninggalkan kesan kepada kehidupan harian seseorang, bergantung kepada individu tersebut, Aktiviti mengepos gambar di laman sosial dengan harapan mendapat pujian dan “likes” adalah sifat manusia yang normal kerana manusia akan melakukan lagi apa sahaja perkara yang mendatangkan ganjaran kepada mereka.
Tetapi ianya bergantung juga kepada tahap emosi seseorang , sesetengah individu sudah cukup gembira selepas memuat naik gambar selfie mereka dan mendapat beberapa ‘like’, namun ada individu yang mengharapkan lebih dari itu malah lebih buruk lagi ketagih untuk menerima like setiap kali memuat naik gambar selfie mereka.
Jika mereka tidak berpuas hati dengan bilangan ‘like’ yang mereka terima,mereka seterusnya memutuskan untuk memuat lagi naik gambar yang lain dan jika masih tidak mendapat jumlah ‘like’ yng diharapkan, perkara ini boleh mengganggu fikiran mereka. Mereka boleh hilang keyakinan diri, mula berfikir negatif tentang diri mereka sendiri seperti rasa tidak puas hati terhadap badan dan rupa mereka.
Antara tanda selfie telah membawa kesan buruk terhadap individu tersebut adalah kecenderungan untuk sentiasa memeriksa komen gambar selfie mereka dan sentiasa mengharapkan untuk menerima ‘like’ , kesan buruk yang dimaksudkan termasuklah hilang keyakinan diri.
Menurut beliau lagi, keyakinan diri adalah penting kerana ia membolehkan seseorang individu untuk mempunyai kepuasan diri, kebahagiaan, menerima kebenaran dan tidak memburu cinta atau perhatian daripada orang lain.
Mereka yang mengalami masalah keyakinan diri ini akan merasa resah, ragu-ragu dan sentiasa tidak berpuas hati dengan kehidupan mereka. Keadaan yang konsisten mampu mendorong kepada masalah mental dan gangguan emosi seperti paranoia, iri hati, nitpicking dan kemurungan. Golongan muda yang mengalami masalah ini akan sukar untuk memajukan diri kerana takut untuk mencuba sesuatu yang baru dan hanya mengikut atau meniru orang lain sahaja. Secara tidak langsung, fenomena ini akan memberi kesan kepada pembangunan negara pada masa akan datang kerana kurangnya bakal pemimpin generasi baru . Kreativiti dan inovasi negara juga akan turut terhalang. Dari sudut perkembangan karier juga, golongan yang kurang keyakinan diri akan sukar untuk maju.
Untuk mengatasi gejala ini, individu tersebut perlu lebih memberi perhatian kepada perkara di sekeliling dalam kehidupan harian mereka dengan meluangkan masa melakukan aktiviti bersama keluarga dan kawan seperti bersenam, menonton wayang dan pergi mengembara. Dr. Panpimol juga menggesa para remaja yang menggunakan internet untuk belajar menerima perbezaan dan pendapat orang lain sebagai antara langkah daripada terus mengambil gambar selfie. Mengambil gambar selfie bukanlah akiviti yang sesuai untuk dilakukan sepanjang masa dan apabila berada di tempat yang tidak sesuai, anda perlu mengawal diri daripada rasa untuk berbuat demikian.