Menurut laporan akhbar thestar, sebuah syarikat penerbitan di Amerika, International Living menyenaraikan sistem perkhidmatan kesihatan Malaysia berada di tangga ke-3 terbaik di dunia, mengenepikan negara seperti Sepanyol, Itali, Ireland dan New Zealand dalam senarai 24 negara bagi Indeks Persaraan Global 2014.
Indeks tersebut memuji sistem perkhidmatan kesihatan Malaysia yang berjaya meraih 95 mata daripada jumlah keseluruhan 100 mata atas sebab di mana pengamal perkhidmatan kesihatan di negara ini adalah ‘sama taraf atau lebih baik berbanding mutu perkhidmatan yang terdapat pada kebanyakan negara Barat’.
Kos bagi perkhidmatan kesihatan serta pilihan perkhidmatan insurans kesihatan di negara ini masih berada dalam kadar rendah. Bukan itu sahaja, majalah yang sama juga mengeluarkan artikel bahawa Malaysia berjaya meraih populariti sebagai destinasi pelancongan-perubatan kerana mutu perkhidmatan kesihatan di negara ini adalah antara yang terbaik dan termurah di dunia.
Terfikir juga indeks ini mengambil kira soal apa sampai Malaysia tersenarai tempat ke-3? Indeks mengambil kira kos serta kualiti perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh setiap negara. Kos bagi setiap konsultasi doktor dan harga insurans kesihatan sahaja sudah cukup untuk menilai perkara ini. Indeks ini juga menilai nisbah jumlah pesakit bagi setiap doktor, jumlah katil hospital untuk setiap 1,000 pesakit, kadar peratusan populasi yang mendapat bekalan air bersih, kadar kematian bayi, jangka hayat serta kos perkhidmatan kesihatan awam pada peratusan KDNK negara yang terlibat.