Kenapa kanak-kanak sekolah rendah diberikan borang kaji selidik seks? Bukankah mereka masih muda untuk mengetahui hal sedemikian? Itu yang perlu kita persoalkan apabila sekolah rendah di Nilai memberikan borang kaji selidik seks kepada pelajar sekolah berkenaan.
Menurut sumber dari sekolah berkenaan, borang kaji selidik tersebut dijalankan oleh Kementerian Kesihatan untuk diagihkan kepada 181 orang pelajar berusia 12 tahun (darjah 6 ) yang disuruh membuat borang kaji selidik tersebut di rumah dan dikembalikan kepada pegawai perubatan selepas cuti sekolah Tahun Baru Cina.
“Saya diberitahu pegawai perubatan tersebut mahu tergesa-gesa pulang bercuti raya cina, jadi mereka tidak mengikut prosedur yang betul malah menyuruh pelajar membuat borang kaji selidik tersebut di rumah,” kata sumber dari sekolah berkenaan.
Mengikut prosedur operasi standard ( SOP), murid-murid sepatutnya menjawab soalan-soalan dengan kehadiran pegawai-pegawai perubatan dan jururawat. Walaubagaimanapun, SOP itu tidak dipatuhi dan ini mewujudkan salah faham kepada tujuan sebenar kajian ini.
“Mereka sepatutnya dibimbing dari awal hingga akhir dan sepatutnya memulangkan borang kaji selidik dengan segera,” kata sumber itu lagi.
Sumber itu berkata soal selidik itu adalah sebahagian daripada proses saringan untuk kesihatan remaja diselaraskan oleh Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga di bawah Kementerian Kesihatan untuk tiga tahun yang lalu.
Antara soalan yang ditanya dalam borang kaji selidik tersebut seperti:
1. Saya pernah melakukan hubungan seks (Ya atau Tidak)
2. Saya mempunyai : (a) keinginan seks terhadap kaum sejenis (b) keinginan untuk menjadi berlainan jantina
Malah menurut ibu bapa yang membawa isu ini menjelaskan anaknya bertanya kepadanya apa itu seks, melancap dan soalan lain yang berkaitan berkaitan jantina, berdasarkan soalan-soalan di dalam borang.
Walaubagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan, ketika dihubungi berkata, dia perlu menyemak dengan Jabatan Pelajaran Negeri terlebih dahulu sebelum mengulas lebih lanjut perihal berkaitan.