Selepas drama Teduhan Kasih dan Love You Mr Arrogant, TV3 sekali lagi mencetuskan fenomena melalui drama 28 episod Ariana Rose. Drama adaptasi novel The Wedding Breaker ini ditayangkan di slot yang sama, Akasia, Isnin hingga Jumaat jam 7 petang. Karya tulisan Evelyn Rose ini akhirnya telah sampai ke kemuncaknya hari ini .
Menampilkan lakonan Nur Fathia Keith Foo, Hisyam Hamid, Nabila Huda, Arja Lee dan ramai lagi pelakon handalan lain, drama ini turut mengangkat single Dayang Nurfaizah sebagai lagu tema. Mengisahkan tentang Ariana Rose yang bertindak merosakkan majlis perkahwinan kawan baiknya Tengku Juwita dengan seorang playboy dari keluarga kenamaan, Tengku Adam. Rancangan itu asalnya adalah atas permintaan Tengku Juwita yang tidak mahu berkahwin dengan Adam. Namun akhirnya perbuatan atas dasar mahu menolong sahabat itu akhirnya memakan dirinya sendiri. Adam yang marah akan tindakan Ariana nekad untuk membalas dendam kepada wanita yang telah merosakkan perkahwinannya. Pembalasan dendam itu bagaimanapun akhirnya bertukar kepada rasa cinta antara mereka sehingga membawa mereka ke jinjang pelamin.
Memetik laporan daripada SinarHarian, penerbitnya Ziela Jalil berkata produksi beliau tidak ada perancangan untuk menyambung drama ini walaupun novelnya mempunyai siri kedua. Beliau juga turut menjawab tentang kontroversi drama itu yang dikatakan mempermainkan agama kerana memilih pelakon bukan islam untuk watak seorang muslim.
“Kami bukan sengaja mahu menimbulkan mempersendakan agama Islam kerana banyak perkara sensitif kami jaga.
“Sebagai contoh, Keith tidak membaca al-Quran atau solat tetapi hanya mengenakan baju Melayu untuk menggambarkan dia sebagai Muslim,”
“Bagi saya, setiap babak yang dilakukan sebaik mungkin untuk memenuhi cita rasa penonton.
“Kami sedar Keith bukan Islam tetapi agama tidak boleh dipermainkan dan perkara ini sangat saya titik beratkan sejak mula penggambaran,” katanya kepada Sinar Harian.
Antara faktor yang dilihat membuatkan drama ini menjadi hits dan mencetuskan fenomena ialah pemilihan pelakonnya. Hasil sedikit survei yang dibuat Wanista, ramai yang sukakan gandingan aktor kacak Keith Foo dan pelakon jelita Nur Fathia yang dikatakan cukup serasi dan ‘sweet’. Jadi walaupun mencetuskan sedikit kontroversi, pemilihan Keith Foo sebagai watak Tengku Adam sememangnya membawa tuah kepada rating drama ini. Selain watak utama, hasil lakonan pelakon sokongan yang lain seperti Nabila Huda juga dikatakan cukup meninggalkan impak kepada penonton. Malah wajah baru yang ditampilkan seperti Hisyam Hamid turut menjadi faktor drama ini begitu digilai penonton selain waktu siarannya yang sesuai.
Jadi kepada peminat-peminat setia drama bersiri ini,anda tentunya tidak sabar untuk menyaksikan episod akhir Ariana Rose jam 7 petang ini di TV3 bukan.