Kosmetik yang dijual secara online kini sudah seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Peniaga-peniaga kosmetik menggunakan medium seperti Facebook dan Instagram dalam menarik perhatian pelanggan membeli produk mereka. Untuk lebih meyakinkan pelanggan , promosi dihebatkan lagi dengan testimonial sebelum dan selepas pengunaan produk berkenaan yang kesannya begitu dramatik sekali.
Namun, adakah benar produk-produk ini berkesan seperti yang diwar- warkan oleh peniaga-peniaga kosmetik online ini? Sejauh manakah produk-produk ini selamat digunakan dari sudut kesihatan?
Menurut laporan daripada akhbar Harian Metro , 17 Februari 2014, seorang pengguna yang dikenali sebagai Sharina, 19 tahun, dia terpaksa mengasingkan diri daripada rakan sekerja apabila wajahnya ditumbuhi bintik halus merah, seakan ruam panas. Pada permulaan penggunaan, produk kosmetik yang digunakan Sharina ternyata membawa perubahan drastik kepada kulit wajah beliau hanya selepas tiga hari penggunaan. Kerana gembira dengan kesan produk itu, Sharina kemudiannya mula menjual sendiri produk tersebut di Facebook bermodalkan testimoni menarik dan berjaya menarik pelanggan yang ramai.
Walaubagaimanapun, wajah beliau yang cerah bersih kemudiannya bertukar kemerahan serta ditumbuhi bintik halus yang menakutkan pada bulan ketiga dia memakai produk tersebut. Lebih parah lagi, kulit Sharina menjadi terlalu sensitif dan seolah-olah terbakar di bawah cahaya matahari.
Apabila ditanya Harian Metro mengapa dia tidak mahu membuat aduan pada persatuan pengguna, Sharina memberi alasan takut kerana da sudah banyak berkongsi testimoni kecantikan dan menjual produk yang sama di Facebook. Tetapi Sharina bertindak untuk memberi nasihat secara terbuka di status Facebook supaya pelanggannya menghentikan pengguna produk tersebut.
Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), memang tidak menggalakkan pembelian kosmetik dan ubatan melalui internet kerana ada risiko penipuan.Pengeluar dan peniaga kini sudah bijak menggunakan pelbagai aplikasi dan perisian untuk menghasilkan pelbagai testimoni berbeza. Misalnya, untuk testimoni perbandingan semula, wajah individu yang sudah sedia cantik diubah untuk menonjolkan sedikit kecacatan menggunakan perisian komputer dan ini bukan taktik baru tapi sudahh semakin popular di kalangan peniaga online.’
Ada juga segelintir peniaga online yang mengambil kesempatan , menipu nombor notifikasi (NOT) untuk meraih kepercayaan pengguna, mereka dipercayai menjual hasil produk palsu namun menggunakan nombor notifikasi (NOT) sah sebagai rujukan pembeli yang mahukan penjelasan berhubung status pendaftaran dengan BPFK. Kes lain, ada yang mengiklankan produk asli tapi mengepos hasil kosmetik palsu.
BPFK, sentiasa menjalankan pemeriksaan secara rawak untuk memastikan jenama yang mengekalkan produk selamat untuk pengguna. Pihak beliau sudah pun menguatkuasakan syarat wajib kepada pengeluar ,pembekal dan pengimport produk kosmetik . Setiap barangan kosmetik yang ingin dipasarkan perlu dinotifikasi.
Setakat ini BPFK telah merekodkan sejumlah 60 produk yang dibatalkan NOT atas isu campur palsu sepanjang 2008 hingga tahun lalu. Maklumat produk ini dipaparkan dan dikemaskinikan di laman web BPFK untuk rujukan orang ramai.
Sumber : Akhbar Harian Metro (Terbitan 17 Februari 2014)