Wanista berpeluang menemubual Peninju Wanita Malaysia, Ann Osman ketika sesi media tour di Semenanjung Malaysia baru-baru ini sempena ONE Fighting Championship pada 14 Mac 2014 yang bertempat di Stadium Negara.
Boleh ceritakan serba sedikit latar belakang mula berjinak dalam dunia sukan ‘Martial Arts’, bagaimana timbulnya minat?
Mulanya dalam sukan Martial Arts ketika usia 25 tahun, pada awalnya hanya pergi ke gimnasium seperti biasa untuk workout, langsung tidak terfikir tentang Martial Arts sehinggalah saya nampak salah seorang jurulatih One FC sedang melatih pelajar kelas MMA Muaythai dan terfikir kenapa tidak turut serta. Jadi, mulalah kehidupan saya dari first class sehingga kini saya melatih dengan Borneo Tribal Squad, MMA & Fitness Factory.
Apa pandangan ahli keluarga tentang minat dalam sukan Martial Arts?
Pada awalnya mereka semua agak bimbang dengan minat saya, mereka khuatir saya akan cedera bila masuk Martial Arts tetapi saya cuba buktikan kepada mereka bahawa saya mampu jaga diri sendiri dan sentiasa berhati-hati. Sekarang mereka lihat saya bersama One FC jadi semestinya mereka sentiasa menyokong minat saya dalam sukan ini.
Sejak masuk One FC pernah atau tidak berdepan dengan sebarang diskriminasi?
Syukur saya tidak pernah alami diskriminasi dalam sukan Martial Arts malah kesemua pelajar dan pelatih bawah One FC dan MMA melayan saya dengan baik juga menerima diri saya seadanya.
Ada sebarang pencapaian terbaik sejak berada dalam One FC?
Sepanjang bersama dengan One FC apa yang boleh saya katakan ketika first fight merupakan pengalaman terindah dan terbaik pernah saya alami malah itulah saat kerjaya Fighter as Professional bermula.
Boleh kongsikan rutin latihan as Fighter?
Bila tiada fight, kami hanya train lebih kurang 2 hingga 3 jam sehari atau maksimum dalam 4 jam tapi disebabkan saya bakal berhadapan dengan pertandingan pada Mac ini maka saya harus tingkatkan lagi stamina juga rutin latihan dalam 6 hingga 7 jam sehari. Bermula daripada morning training untuk strength conditioning seperti jogging, lari atas bukit, senaman yang perlu tingkatkan stamina. Selepas itu teruskan train sebelum waktu makan tengah hari dan teruskan lagi waktu malam dalam jam 6 ke 7 petang setiap hari.
Bagaimana Ann jaga pemakanan untuk keep fit dan stamina?
Saya amalkan pemakanan yang sihat dan bersih dan sebolehnya saya akan cuba masak walau tiada masa. Bila tiba musim pertandingan, saya kena terhadkan pengambilan makanan, tidak boleh ambil makanan manis, berminyak, kena banyak makan sayuran, protein seperti tuna, dada ayam, telur putih. Bila tiada fight, saya masih makan seperti biasa cuma tidak boleh berlebihan sahaja.
Seperti yang anda ketahui, di Malaysia ini banyak berlaku kes ragut melibatkan kaum wanita jadi ada sebarang tips yang boleh dikongsikan?
Kalau boleh para wanita di luar sana cuba belajar self defense, tidak kisah apapun asalkan mempelajarinya. Hal ini kerana, ianya sangat penting untuk menjalani kehidupan seharian dan sebagai langkah berjaga-jaga, kita tidak boleh mengharapkan orang lain datang untuk membantu. Mencegah lebih baik daripada mengubati! Sekurang-kurangnya dengan kemahiran self defense yang ada, wanita jadi lebih berani dan yakin untuk berdepan dengan situasi, mereka tidak panik.
Pada Ann yang penting ialah langkah berjaga, contohnya jangan sesekali pergi ke sesuatu tempat seorang diri, jalan malam, jangan sengaja cari masalah. Langkah kedua, belajar teknik self defense, mampu berikan anda keyakinan bila berhadapan dengan situasi yang mencurigakan.
Anda sudah bertunang, bagaimana penerimaan tunang anda terhadap karier?
Sejujurnya tunang saya menyokong kerjaya saya dalam sukan Martial Arts cuma dia tidak menonton perlawanan saya, dia hanya menyokong dari jauh tapi untuk pergi menonton, dia tidak berminat.
Boleh berikan sedikit tips untuk sesiapa yang ingin ceburkan diri dalam sukan Martial Arts?
Apa ya! Sebolehnya bila ceburkan diri dalam sesuatu bidang perlu ada passion yang tinggi agar anda ikhlas dalam kendalikan dengan baik dan tanpa tekanan. Sukan Martial Arts memerlukan disiplin yang tinggi jadi sentiasa patuhi peraturan yang ditetapkan jurulatih. Kalau boleh, jangan masuki kerjaya hanya ingin kejar glamor, maksudnya di sini ada sesetengah individu yang mengambil kesempatan bila terpilih untuk train dengan One FC, mereka menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan oleh One FC – salah satu organisasi yang kuat dalam sukan Martial Arts. Mereka rasa bangga diri dan ingin glamor sahaja.
Bagaimana anda lihat diri anda 5 tahun akan datang?
Saya sudah lama ingin ceburkan diri dalam perniagaan cuma perniagaan apa masih belum difikirkan lagi. Tapi untuk tempoh mid term ini, saya ingin advance dalam karier dengan MMA dan berjaya dalam sukan Martial Arts.
Apa harapan anda sekarang?
Semestinya ingin menang dalam perlawanan di Mac nanti malah saya rasa sedikit yakin untuk perlawanan kali ini. Untuk menang, saya akan teruskan rutin latihan seperti biasa bagi sentiasa maintain dan keep fit.
Terima Kasih.