Kami peduli, dan kami harap kerajaan juga betul-betul peduli dengan nasib rakyat Malaysia. Kami kongsikan kisah kehidupan seorang budak lelaki yang berumur 6 tahun yang tinggal di kawasan setinggan Air Panas di Setapak, Kuala Lumpur. Zahka tidak pernah bersekolah dan hanya tahu bercakap bahasa Tamil ( dan sedikit bahasa Melayu ) dengan kawan-kawan dan keluarganya.
Kisah dan fotonya telah dikongsikan di dalam esei foto projek tahun akhir seorang pelajar yang mengambil jurusan reka bentuk grafik Chia Hong. Hasil kerja beliau telah dipamerkan di Art and Design Graduation Show di New Era College, Kajang dan menarik perhatian ramai pengunjung.
Menurut Chia, beliau mahu untuk mendokumentasikan kesulitan yang dihadapi oleh golongan miskin dan sebenarnya ramai di antara kita enggan percaya yang masalah ini wujud, malah masalah ini lebih parah daripada apa yang kita bayangkan.
Zahka merupakan anak angkat dan ibu angkatnya terjumpa Zahka ketika dia masih bayi lagi yang ditinggalkan di sebuah lorong berhampiran kawasan setinggan yang mereka duduki. Walaupun miskin, wanita itu memutuskan kanak-kanak ini mesti hidup dan mengambil keputusan untuk memeliharanya. Ibunya, Firiza, tidak pernah ke sekolah. Beliau tidak mempunyai MyKad mahupun surat lahir . Zahka juga tidak mempunyai apa-apa dokumen kelahiran. ( dan adakah ini bermaksud keluarga ini tidak mendapat Bantuan Rakyat 1 Malaysia? )
Zahka menghabiskan hari mencari barang-barang terpakai di tapak pembuangan sampah berhampiran rumah mereka dan seluruh keluarga malang ini terus hidup dengan bergantung daripada hasil kutipan barang-barang terbuang yang dijual di kedai kitar semula. Mereka mencari botol, tin, bahagian keluli terpakai. Semasa Chia bertemu dengan Zahka buat pertama kali, dia melihat Zahka sedang menggali sampah dengan tangannya. Apabila dia menghampirinya, Zahka tersenyum gembira dan tidak melarikan diri.
Chia cuba untuk memulakan perbualan tetapi Zahka tidak tahu bahasa Melayu. Petang itu di rumah, Chia membuat keputusan untuk belajar beberapa perkataan Tamil dari Google Translate. Sayu hati kami melihat kisah hidup Zahka dan keluarganya dan gambar yang paling sedih adalah ‘kasut’ Zahka dan keluarga yang diperbuat daripada tali dan botol. Anda sebagai rakyat Malaysia perlu prihatin dan berganding bahu membantu rakyat negara kita yang berada di dalam kesusahan. Anda boleh baca lebih lanjut mengenai keluarga ini di portal Saya Anak Bangsa Malaysia
Kredit Gambar : Chia Hong , Portal Saya Anak Bangsa Malaysia