AirAsia telah dipanggil untuk menarik balik iklan yang diletakkan di atas kapal terbang, yang telah dianggap menyinggung perasaan pihak jururawat di Malaysia. The Malaysian Medical Association (MMA) juga meminta AirAsia untuk meminta maaf dengan segera kepada semua jururawat di Malaysia.
Iklan yang ditampal pada belakang tempat duduk penumpang itu berbunyi, “You want your momma, because you are in the hospital with lousy nurses” (Anda mahukan ibu, kerana anda berada di hospital bersama jururawat yang memberikan layanan buruk). Ayat ini sebenarnya digunakan bagi mengiklankan pakej perlindungan Tunes Insurance Malaysia.
Presiden MMA Datuk Dr N.K.S.Tharmaseelan berkata iklan itu menyakitkan kerana ia seakan memperkecilkan pekerjaan jururawat. Tharmaseelan menambah bahawa iklan tersebut akan dilihat oleh ramai penumpang dan ini sekaligus memberikan tanggapan negatif terhadap kerjaya jururawat di Malaysia.
Bukan itu sahaja, terdapat jururawat yang terlihat iklan ini di atas pesawat, mereka jelas terasa hati sekaligus memuatnaik gambar iklan terbabit di laman Facebook pemilik Air Asia, Tony Fernandez bersama luahan perasaan.
Rasanya hal ini telah pun selesai selepas Ketua Komunikasi Air Asia Berhad, Aziz Laikar berkata Air Asia telah pun menarik kembali iklan yang dikeluarkan oleh syarikat pengiklanan mereka, Tune Insurance. Air Asia menjelaskan bahawa mereka menghormati kerjaya jururawat dan tidak pernah terniat untuk menyakiti atau menghina pekerjaan tersebut.