Syamsul Yusof sekarang ini masih di hospital kerana disyaki denggi dan dikatakan keadaannnya bertambah teruk malah yang teruk lagi kemungkinan pernikahan yang bakal berlangsung juga terpaksa ditunda.
Sinar Harian yang melaporkan, Syamsul yang dirawat di Pusat Perubatan Gleneagles masih dalam keadaan lemah dan doktor menjangkakan dia mungkin mengambil masa empat hingga lima hari untuk pulih.
“Memandangkan keadaannya tidak konsisten, jadi kami sendiri tidak tahu sama ada dia boleh sembuh sepenuhnya sebelum majlis pernikahan berlangsung atau tidak.
“Malam ini (semalam) saya akan berjumpa dengan keluarga pihak perempuan untuk berbincang mencari alternatif lain untuk majlis pernikahan dan persandingan di pihak perempuan hujung minggu ini.
“Kalau keadaan kesihatan Syamsul masih tidak mengizinkan, mungkin kita akan tunda tarikh, atau hanya adakan majlis pernikahan sahaja, tapi itu semua terpulang pada keadaannya.
“Kami sekeluarga hanya mampu berserah pada Tuhan dan mengharapkan kesihatan Syamsul akan pulih supaya semuanya dapat berjalan seperti yang dirancang,” jelas Datuk Yusof Haslam.
Terdahulu, kita ketahui Syamsul dijadualkan bakal bernikah dengan tunangannya Puteri Sarah Liyana pada hari Sabtu ini , 8 Mac 2014. Tapi memandangkan keadaan ini, kita doakan Syamsul cepat sembuh dan semuanya berjalan dengan baik.