Hanya kerana tidak popular, seorang peserta rancangan realiti di Korea Selatan iaitu ‘Jjak’ bertindak menggantung dirinya. Dia merasakan rancangan itu membuatkan dia tidak popular.
Wanita berusia 29 tahun itu, yang dikenali sebagai Chun mengambil bahagian dalam rancangan untuk mencari jodoh dan ditemui mati pada Rabu lalu. Dia meninggal dunia ketika lokasi penggambaran diadakan di Pulau Jeju.
Mayat Chun ditemui bersama sekeping nota yang menyatakan bahawa dia enggan hidup lagi. Menurut ibunya, Chun memberitahu bahawa dia lebih rela meninggalkan Korea Selatan daripada membiarkan rancangan itu ke udara.
Chun ada mengadu kepada rakan-rakannya bahawa dalam rancangan itu dia digambarkan sebagai wanita tragik dengan banyak adegan yang menunjukkan dia keseorangan.
Susulan kematian Chun, ‘Jjak’ yang sepatutnya disiarkan telah dibatalkan dan program berkenaan memohon maaf kepada keluarga Chun walaubagaimanapun enggan bertanggungjawab terhadap kematian Chun.
Rancangan Jjak merupakan rancangan paling popular di Korea Selatan dan ia meletakkan 10 lelaki dan wanita di dalam satu rumah selama seminggu. Aktiviti mereka difilemkan dan formatnya ialah setiap peserta perlu melakukan cabaran yang diberikan dengan harapan mereka akan mendapat pasangan pada penghujung rancangan.