Hari ini penulis ingin berkongsi dengan anda mengenai pendermaan organ di Malaysia. Menurut portal Derma Organ, pendermaan organ adalah proses memindahkan organ dan tisu daripada penderma yang masih hidup atau telah meninggal dunia kepada pesakit yang mengalami kegagalan organ tahap akhir. Pemindahan organ (transplan) merupakan kaedah rawatan yang terbukti berkesan dan dapat menyelamatkan nyawa. Pemindahan organ tidak akan berlaku sekiranya tiada penderma.
Di Malaysia, hanya penderma yang meninggal dunia secara mati otak sahaja yang boleh mendermakan organ dan tisu. Manakala penderma yang meninggal dunia secara biasa (jantung terhenti) hanya boleh mendermakan tisu.
Statistik
Dari tahun 2003 hingga kini, terdapat lebih daripada 172,000 orang telah berikrar menjadi penderma organ di Malaysia dan terdapat lebih ramai pengikrar wanita berbanding lelaki. Penderma organ sebenar pada tahun 2013 adalah seramai 26 orang ( Cina – 16 orang, India – 6 orang, Melayu – 2 orang , Lain-lain – 2 orang )
Di dalam senarai menunggu organ, terdapat seramai 17,132 orang yang sedang menunggu bantuan pendermaan organ. 17,102 orang pesakit menunggu organ buah pinggang, organ hati seramai 14 orang , jantung 5 orang, paru-paru 7 orang, jantung dan paru-paru pula seramai 4 orang.
Proses perolehan organ melibatkan pembedahan yang dijalankan oleh pasukan pakar bedah secara steril (sucihama). Proses ini tidak akan menyebabkan sebarang kecacatan kepada tubuh badan penderma. Selepas pendermaan dijalankan, luka pembedahan akan dijahit dengan sempurna.
Pendermaan organ dan tisu boleh dijalankan di kebanyakan hospital kerajaan dan swasta. Bagi individu yang meninggal di rumah, hanya pendermaan mata boleh dijalankan.
Derma Organ di Malaysia
Masih kurang pendedahan mengenai pendermaan organ di Malaysia pada masa kini. Antara persoalan utama adalah adakah pendermaan organ dibenarkan oleh agama Islam? Jawapannya adalah YA. Majlis Fatwa Kebangsaan di Malaysia telah memfatwakan pendermaan organ sebagai ‘HARUS’ sejak tahun 1970. Bahkan, di negara-negara Islam lain seperti Mesir, Arab Saudi, Iran dan Pakistan, umat Islam dibenarkan berikrar serta mendermakan organ atau tisu mereka mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Jika seseorang itu telah berikrar menderma organ, bukan semua organ diambil oleh pengikrar. Ianya akan dilakukan berdasarkan kriteria berikut:
- Hanya organ dan tisu yang diizinkan oleh ahli keluarga;
- Organ dan tisu itu masih berfungsi dan boleh digunakan selepas kematian;
- Ada penerima sesuai yang menunggu.
Siapa yang layak menderma organ?
Di Malaysia, kanak-kanak dan individu kurang upaya mental tidak dibenarkan untuk menderma organ semasa mereka masih hidup. Banduan juga tidak dibenarkan untuk menderma organ melainkan di dalam keadaan tertentu bagi menyelamatkan nyawa ahli keluarga terdekat.
Pendermaan dapat dijalankan bergantung kepada di mana dan bagaimana seseorang penderma itu meninggal dunia. Anggota kesihatan yang terlatih akan menilai kesesuaian organ yang ingin didermakan. Individu yang menghidap penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B atau C, Syphilis tidak dibenarkan untuk menderma organ.
Penderma organ termuda adalah berusia 25 hari manakala yang tertua berumur 82 tahun.
Individu yang berusia dibawah 18 tahun perlu mendapat kebenaran bertulis daripada ibubapa atau penjaga untuk berdaftar sebagai pengikrar penderma organ. Pendaftaran untuk menjadi pengikrar penderma organ tidak melibatkan sebarang pembayaran atau pemeriksaan kesihatan.
Prosedur Pendermaan Organ
Bagi Anda Yang Ingin Menjadi Penderma Organ
Rujuk : http://www.dermaorgan.gov.my/join-the-register-2/
Menjadi Sukarelawan Untuk Membantu
Hari ini terdapat lebih 300 sukarelawan di seluruh Malaysia yang aktif berkongsi maklumat dengan rakan, keluarga, dan masyarakat supaya mereka berdaftar untuk menderma organ dan tisu. Bukan itu sahaja, tetapi sepanjang tahun, terdapat banyak acara sukarelawan menggalakkan pendaftaran organ dan tisu penderma! Ini semua kerana sokongan yang mulia dari masyarakat seperti anda.
Jadi sukarelawan sekarang! : http://www.dermaorgan.gov.my/sukarelawan/
Maklumat lanjut