Menurut laporan The Oregonian, seekor kucing yang marah telah mencakar seorang bayi serta ‘menawan’ sebuah keluarga dan juga anjing mereka di dalam bilik tidur mereka. Ianya berpunca apabila pemiliknya, Lee Palmer telah menyepak kucing seberat 9 kilogram itu untuk menjauhkan ia daripada anaknya yang berusia 7 bulan. Walau bagaimanapun, kucing itu menjadi marah sehingga menyebabkan keluarga itu terpaksa membuat panggilan kecemasan 911.
Tidak lama selepas itu, pihak berkuasa tiba dan memasuki rumah berkenaan dengan berhati-hati. Kucing berwarna hitam dan putih jenis Himalaya itu masuk ke kawasan dapur dan cuba untuk melarikan diri namun ia berjaya ditangkap dan dimasukkan ke dalam sangkar. Pihak berkuasa memberitahu yang keluarga itu selamat untuk keluar dari bilik tidur mereka. Bayi yang telah dicakar kucing marah itu mengalami luka di bahagian dahi. Terkini, keluarga berkenaan tidak membuang kucing yang ‘menawan’ mereka sekeluarga kerana bagi mereka kucing itu telah menjadi sebahagian daripada keluarga mereka. Mungkin pada masa akan datang, keluarga itu akan menghantar kucingnya itu untuk satu sesi terapi.