Di dalam satu kajian baru-baru ini, New Delhi telah mengatasi Beijing dan memegang gelaran bandar yang paling tercemar di dunia. Pencemaran udara di New Delhi pada musim sejuk adalah 60 kali lebih tinggi daripada tahap yang diiktiraf selamat, menurut kenyataan dari penyelidikan Pusat Sains dan Alam Sekitar India (CSE).
Bahan pencemar bawaan udara ( Particle Pollution/ PM ) yang paling berbahaya, telah direkodkan pada PM2.5, dengan purata 575 mikrogram per meter padu di ibu negara India dari bulan November hingga Januari lalu berbanding Beijing dengan bacaan kepekatan 400 mikrogram per meter padu. Bandar seperti London mempunyai tahap PM2.5 dengan purata 20 mikrogram, yang dianggap selamat.
Tahap PM10 bandar Beijing telah menurun sebanyak kira-kira 40 peratus dari tahun 2000 hingga 2013. Untuk bandar New Delhi pula tahap PM10 telah meningkat kira-kira 47 peratus dari tahun 2000 hingga 2011. Tahap PM10 di Delhi adalah hampir dua kali ganda daripada Beijing.
Walau bagaimanapun, di dalam senarai bandar paling kotor di dunia sebelum ini, ia bukan sahaja melibatkan bandar besar. Di dalam senarai yang diterbitkan pada tahun 2013 oleh perniagaan penerbitan dalam talian Quartz, New Delhi dan Beijing tidak termasuk di dalam senarai. Akan tetapi, Ahwaz iaitu wilayah pengeluar minyak utama Iran disenaraikan sebagai bandar paling kotor di dunia. Selain itu juga bandar seperti Ulaanbaatar, Mongolia; Ludhiana, India; Peshawar, Pakistan dan Gaborone, Botswana termasuk di dalam senarai yang dikeluarkan pada bulan Oktober 2013. Ahwaz, misalnya, yang terletak di barat daya Iran, jauh melampaui bandar-bandar yang memang terkenal dengan pencemaran seperti New Delhi atau Beijing, dengan 372 bahagian per juta zarah lebih kecil daripada 10 mikrometer (PM10), berbanding dengan purata dunia sebanyak 71. Jangka hayat untuk bandar dengan 1.2 juta penduduk adalah yang paling rendah di Iran.