Konsert Festival Future Music yang sepatutnya berlangsung pada 13 Mac hingga 15 Mac hujung minggu lalu dibatalkan pada hari ketiga (15 Mac 2014) berikutan berita mengejutkan insiden kematian (1 lelaki Melayu, 1 lelaki India, 1 lelaki Cina, 2 perempuan Melayu). Sementara 4 orang yang masih koma/kritikal kesan daripada pengambilan dadah dan alkhohol. Pada 15 Mac 2014 seorang lagi mati akibat yang sama iaitu kesan daripada pengambilan dadah dan alkohol.
Menurut laporan Utusan Malaysia, dadah yang dikesan membunuh enam penonton konsert antarabangsa Future Music Asia 2014 berkemungkinan adalah dadah sintetik baharu yang belum dipasarkan di negara ini.
Difahamkan, dadah berkenaan diseludup masuk dari negara jiran dan sememangnya dibawa khas untuk mereka yang menghadiri konsert terbabit. Sumber memberitahu, setakat ini polis masih belum dapat memastikan jenis dadah yang digunakan, meskipun mereka mengaitkan kematian mangsa dengan dadah sintetik jenis methamphetamine. Pakar perubatan juga berkata beberapa kapsul dadah yang dijumpai dalam badan mangsa sukar untuk dikenalpasti.
Polis menerangkan lagi, dadah yang diambil oleh mangsa ketika menghadiri konsert berupa kapsul dan dijual dengan harga yang rendah. Individu yang mengambil dadah itu juga dikatakan akan mengalami peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga boleh mengakibatkan tidak sedarkan diri di samping keluar darah menerusi hidung dan telinga. Sumber memberitahu bekalan dadah itu mungkin dibawa oleh warga asing.
Oleh itu, Wanista ingin berkongsi info mengenai dadah jenis baru dan kesan pengambilannya.
1. KANABIS (GANJA)
Jenis:
- Ganja mengandungi Tetrahydro-Cannabional (THC) – Daun dan pucuk berbunga pokok kanabis yang dikeringkan dan kadangkala bercampur dengan bijinya
- Hashish – Getah pucuk bunga kanabis yang dikeringkan. Berwarna coklat/hitam berbentuk serbuk/bebola
- Minyak Hashish – Cecair pekat dan berbagai warna dari tidak berwarna hingga warna hitam
Kesan:
- Kesan fizikal
Bahan kimia terutamanya bahan psikoaktif yang diberi nama Delta 9 – Tetrahydro-Cannabinol (THC) yang terdapat dalam kanabis akan berkumpul di dalam badan manusia dan mengambil masa lebih kurang 4 minggu untuk keluar dari tubuh mengikut proses fisiologi normal. Jika seseorang itu terlibat dengan kanabis terus menerus dalam satu minggu atau satu bulan, THC sentiasa terkumpul dalam semua sel tubuh terutamanya sekali di bahagian otak, paru-paru dan organ pembiakan.
- Kesan ke atas peparu
Kanabis mendatangkan kerosakan yang teruk kepada paru-paru dalam masa yang singkat (18-24 bulan). Asap yang mengandungi bahan kimia serta racun seperti karbon monoksida dan ammonia akan merosakkan sistem ketahanan paru-paru yang berfungsi sebagai penapis bahan asing dan bakteria. Akibatnya paru-paru akan menjadi hitam dan kerosakan struktur paru-paru yang teruk dan boleh mengakibatkan kanser.
- Kesan ke atas jantung
Kanabis mengubah fungsi jantung. Ia meningkatkan kadar debaran jantung dan menjejaskan pengaliran darah yang boleh mengakibatkan sakit dada bagi mereka yang menghidap sakit jantung.
- Kesan ke atas sistem pembiakan – lelaki
Kanabis menyebabkan pengeluaran hormon testosterone merosot dan mengakibatkan ketidak seimbangan hormon yang boleh merubah keadaan fizikal seseorang lelaki. Ia juga boleh mengurangkan bilangan sperma atau menambah sperma yang tidak normal. Bagi mereka yang mengambil kanabis dalam kuantiti yang banyak dan jangkamasa yang lama akan mengakibatkan mati pucuk.
- Kesan ke atas sistem pembiakan – perempuan
Kanabis boleh menyebabkan kedatangan haid yang tidak menentu dan berkemungkinan kurangnya bilangan telur di dalam ovari. Jika seseorang ibu itu menagih kanabis, kemungkinan bayi yang akan dilahirkan mengalami gejala tarikan (withdrawal symptoms) yang teruk kerana berada di bawah pengaruh THC yang terdapat di dalam darahnya.
- Kesan ke atas mental
Menagih kanabis boleh mengubah persepsi masa dan jarak serta mencacatkan daya ingatan jangka pendek. Ia juga boleh mengurangkan keupayaan melaksanakan tugas yang memerlukan tumpuan dan koordinasi. Satu reaksi daripada penggunaan kanabis ialah perasaan cemas yang datang dengan tiba-tiba. Seseorang itu akan menjadi bimbang dan syak sehingga merasa dirinya tidak terkawal lagi. Ia merosakkan personaliti secara keseluruhan dan menyebabkan seseorang itu mengasingkan diri dari keluarga. Perubahan yang paling ketara ialah sikap tidak peduli, kurang motivasi dan tidak mengambil berat tentang masa depan.
2. STIMULAN
Jenis:
- Amphetamine – Kapsul, pil, tablet
- Metafetamin – serbuk putih, berbentuk kristal, seperti kristal, pil
Kesan:
Perasaan yakin pada diri sendiri, bertenaga dan cergas serta dapat melakukan apa jua jenis pekerjaan. Menggeletar. Rasa resah gelisah. Boleh berjaga tanpa tidur sehingga 2-3 hari. Tidak merasa lapar dan penat. Bercakap berlebih-lebihan. Selain itu, berlaku penurunan berat badan dan tekanan darah tinggi serta denyutan jantung yang tidak stabil.
Keadaan gila yang dipanggil psikosis selepas mengambil satu dos besar amfetamin atau selepas menggunakan beberapa dos biasa dengan berterusan. Seseorang akan mengalami paranoia atau perasaan syak wasangka dan takut terhadap orang lain. Halusinasi juga mungkin berlaku yang menyebabkan kelakuan menjadi agresif terhadap orang lain.
Mengambil amfetamin dalam jangka waktu yang panjang akan mengakibatkan pergantungan fizikal dan mengalami gejala tarikan. Penagih kronik menjadi psikotik, bingung dan hilang daya ingatan selama 6-12 bulan selepas berhenti menggunakan amfetamin.
3. DEPRESEN
Jenis:
- Barbiturat – Kapsul yang bewarna merah, kuning dan biru.
- Methaqualone – Tablet
- Tranquilizers – Tablet kapsul
Kesan:
Kesan depresen lebih menyerupai kesan alkohol. Pengambilan dos yang tinggi menyebabkan pertuturan menjadi kurang jelas, persepsi tidak tepat, berjalan terhoyong hayang, hilang pertimbangan, marah-marah, hilang daya ransangan dan suka bertengkar.
- Tidak boleh tidur
- Lemah anggota badan
- Suhu badan meningkat
- Tekanan darah menjadi rendah
- Sakit-sakit anggota badan
- Muntah-muntah
- Bingung
- Sawan atau maut
4. HALUSINOGEN
Jenis:
- Phencyclidine – Cecair, kapsul, serbuk kristal berwarna putih
- Lysergic Acid Diethylamide – tablet yang berwarna terang, blotter paper, cecair
- Mescaline dan Peyote – berwarna coklat, tablet, kapsul
- Psilocybin – cendawan kering atau segar
Kesan:
Halusinogen adalah sejenis dadah yang mengubah pencerapan deria. Ia mengubah pandangan visual dan menyebabkan berlakunya ilusi sehingga amat susah membezakan yang benar dan yang tidak.
Penggunaan PCP menunggu fungsi ‘neocorteks’ dalam otak yang menyebabkan seseorang itu tidak merasa sakit dan akan mencederakan diri sendiri. Koordinasi otot-otot menjadi lemah, percakapan juga tidak dapat difahami dan daya ingatan yang lemah. Mengalami halusinasi dan paranoia.
5. KOKAIN
Jenis:
- Kokain – Serbuk kristal putih yang dicampur dengan lain-lain campuran
- Crack – Ketulan kristal yang berwarna coklat muda
Kesan:
Bercakap berlebih-lebihan dan dengan mengambil dos yang tinggi menyebabkan percakapan tidak difahami oleh orang lain.
Tidak dapat tidur
Tidak menghiraukan kesihatan dan kebersihan diri
Halisinasi dan paranoia
Desakan untuk melakukan kerja berulang-ulang
Kokain akan menyebabkan pergantungan fizikal dan psikologikal di mana seseorang itu merasakan dirinya tidak dapat berfungsi tanpa menggunakan dadah jenis ini.
Boleh menyebabkan kematian jika diambil secara berterusan kerana ia menjejaskan fungsi jantung dan sistem pernafasan.
6. DESIGNER DRUG
Jenis:
- Analog Fentanyl – serbuk putih menyerupai heroin
- Analog Meperidine – serbuk putih
- Analog Amphetamines and Methamphetamines – serbuk putih, tablet, kapsul
- Analog Phencyclidine – serbuk putih
Kesan:
Designer drug merupakan satu kumpulan analog kepada bahan kimia yang telah diubahsuai akan struktur molekularnya. Dadah jenis ini mempunyai kesan yang lebih berganda lebih kuat daripada dadah yang asal.
Pengambilan dadah seperti ini boleh menyebabkan seseorang itu mengalami simptom seperti yang terdapat pada pesakit Parkinsons seperti menggeletar yang tidak boleh dikawal, pertuturan yang tidak jelas, lumpuh dan kerosakan yang teruk pada otak.
Analog amfetamin dan metamfetamin mengakibatkan rasa loya, penglihatan yang kabur, keadaan badan yang berpeluh dan pitam.
Kesan psikologikal pula menyebabkan seseorang itu merasa cemas, mengalami tekanan perasaan yang teruk dan paranoia. Jika penggunaannya diteruskan ia akan menyebabkan kerosakan pada otot.
Jenis:
- Heroin – serbuk yang berwarna coklat tua menyerupai tar
- Methadone – cecair
- Kodein – cecair berwarna, kapsul, tablet
- Morphine – kristal putih, tablet, kapsul
- Meperidine – serbuk putih, cecair, tablet
- Candu – serbuk berwarna coklat atau putih
Kesan:
Meninggalkan kesan euforia dan diikuti dengan rasa pening, mual dan muntah
Mata berair dan gatal dan mata hitam mengecil
Mengambil dos yang berlebihan akan menyebabkan kesukaran bernafas,koma dan boleh membawa maut
Gejala tarikan cepat berlaku dan boleh membawa kepada pergantungan secara fizikal
Penggunaan opiat di kalangan ibu mengandung akan mengakibatkan kandungan mati atau prematur serta gejala tarikan yang teruk.
Antara sebab mengapa mangsa mengambil dadah
Mereka mengambil dadah untuk mengubah perasaan mereka. Seringkali mereka ingin mengubah situasi mereka. Sekiranya mereka kemurungan, mereka ingin gembira. Sekiranya mereka rasa tertekan atau gementar, mereka ingin merasa tenang. Dengan mengambil dadah, mereka seringkali berfikir bahawa mereka boleh menjadi seseorang yang mereka ingini
Untuk mengelak daripada tidur supaya mereka boleh mengulangkaji atau untuk membebaskan diri daripada kehidupan akademik mereka.
Mereka ingin menyesuaikan diri dan tidak mahu menjadi hanya seorang di kalangan rakan-rakan sebaya yang tidak melibatkan diri.
Mengambil dadah kerana mereka rasa bosan. Mereka mengambil dadah untuk mendapatkan keseronokan kerana tiada perkara lain yang menarik minat mereka.
Dipengaruhi oleh dunia hiburan yang menunjukkan bahawa dadah merupakan sesuatu yang menarik dan bergaya.
- Anak muda mengambil dadah kerana mereka berfikir bahawa mereka akan kelihatan seperti orang dewasa.
Ada di antara mereka mengambil dadah kerana mereka ingin memberontak. Mereka beralih kepada dadah bukan untuk mereka sendiri, tetapi untuk membuat kenyatan terhadap orang lain, seperti keluarga-keluarga mereka atau masyarakat amnya.