Mengikut siasatan awal polis mendapati enam pengunjung konsert mati dalam tempoh 10 minit selepas mengambil dadah esctacy jenis baharu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dadah jenis baharu itu didapati baru berada dalam pasaran negara ini dan kemungkinan sedang diuji sindiket dadah.
Katanya, siasatan polis juga mendapati mereka berkongsi dadah itu yang dijual kepada pengunjung Konsert Festival Future Music Asia 2014 dengan harga tertentu.
“Hasil siasatan dan saringan awal daripada ujian hospital, kesemua mereka positif dadah jenis methampetamine dan ampetamine,” katanya lagi.
Kejadian itu mengakibatkan enam orang termasuk tiga wanita meninggal dunia manakala 15 individu lagi dirawat di hospital. Ekoran insiden itu, konsert itu yang sepatutnya berlangsung tiga hari dibatalkan pada hari terakhir semalam.
Polis telah menahan 40 orang iaitu sembilan orang, masing-masing memiliki ecstacy dan ganja manakala 22 orang disyaki mengambil dadah yang jenisnya belum dikenal pasti. Difahamkan mereka yang ditahan ialah 22 warga tempatan dan 16 warga asing dari Zimbabwe, Australia, Indonesia dan India. – BERNAMA