Sebelum ini menerusi media antarabangsa Daily Mirror melaporkan bahawa isteri kepada Kapten Zaharie bersama tiga orang anaknya telah keluar negara sehari sebelum kejadian pesawat tersebut hilang. Dakwaan yang mengatakan isteri Kapten Zaharie melarikan diri ke luar negara ternyata tidak benar.
Walaubagaimanapun, menurut sumber terdekat keluarga, isteri Zaharie sebenarnya tidak pernah melarikan diri sebaliknya berada di rumah anak sulungnya di Subang. Sumber itu berkata wanita tersebut pergi ke rumah anaknya sehari sebelum kejadian.
“Isterinya sering berulang alik antara Shah Alam dan Subang apabila suami terbang. Kebanyakan masa dihabiskan di Subang dan hanya akan pulang ke rumah sekiranya kapten bercuti. Rumah ini boleh dikatakan sebagai rumah persinggahan untuk ahli keluarga berkumpul,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut sumber tersebut, dia juga kecewa dengan spekulasi yang tersebar kerana sedikit sebanyak menjejaskan emosi keluarga serta memberi tanggapan buruk terhadap keluarga Zaharie terutama isterinya. Rumah Zaharie di Laman Seri, Shah Alam dikawal ketat oleh pihak pengurusan.
“Pengawal keselamatan sentiasa berkawal di rumah Zaharie, orang luar juga tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Facebook dan Instagram Zaharie telah ditutup dan dipercayai dilakukan oleh ahli keluarga untuk mengelakkan sebarang spekulasi yang menjejas imej keluarga. Manakala, akaun Twitter beliau juga tidak mempunyai sebarang status lama dan kekal kosong.
Anak Kapten Zaharie Tunggu Bapa Pulang
Anak juruterbang yang hilang bersama pesawat Malaysia Airlines, tinggal di Australia apabila ia hilang secara misteri dari skrin radar. Aishah Zaharie, yang tinggal di Melbourne, telah kembali ke pangkuan keluarganya di Malaysia kerana dia menanti berita bapanya iaitu, Kapten Zaharie Ahmad Shah. Aishah yang berusia 27 tahun, dari Shah Alam,merupakan lulusan sarjana seni bina dari Universiti Deakin di Geelong dan telah tamat pengajian pada tahun 2012. Aishah belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur sebelum berpindah ke sana.
Menurut sumber terapat dengan keluarga ini, apa yang telah dilaporkan dalam berita oleh media antarabangsa mengenai Kapten Zaharie sangat mengecewakan. Mereka hanya menunggu untuk menyalahkan juruterbang. Spekulasi seperti ini membunuh keluarga ini.