Menurut laporan akhbar Sinar Harian, 2 daripada 4 pelajar Kolej Vokasional Kuala Kangsar yang dilapor hilang ketika menuruni Gunung Bubu di Ulu Kenas, Perak di sini Ahad lepas, telah ditemui semalam. Menurut jurucakap pihak polis, mayat pelajar iaitu Adam Asraf Azman dan Muhammad Amir Asyraff Baharuddin ditemui pada pukul 3.20 petang semalam di dalam Sungai Gading, kira-kira 13 kilometer dari kaki gunung berkenaan.
Mayat Muhamad Amir Asyraff dibawa keluar dari kawasan berkenaan pada pukul 6 petang manakala mayat Adam dibawa turun 45 minit kemudian dan punca kematian masih belum diketahui.
Sebelum ini, dua lagi pelajar yang hilang Muhammad Putera Rafii dan Siti Azimah Mohd Fitri, kedua-duanya berusia 17 tahun, dijumpai pada pukul 9 pagi di persisiran Sungai Gading dalam keadaan letih dan lesu. Mereka diantara 25 pelajar kolej itu yang mengikuti program perkhemahan tiga hari dua malam di gunung berkenaan, diiringi enam guru.
Menurut sumber berita Bernama, kumpulan pelajar kolej itu mula mendaki Gunung Bubu, yang mempunyai ketinggian 1,657 meter dari paras laut, pada pukul 3.30 petang Jumaat lepas dan menuruni gunung berkenaan pada petang Ahad.
Gunung Bubu, yang terkenal dalam kalangan pendaki tempatan, menyediakan Kem Sungai Gading dan Kem Batu Dinding, untuk bermalam.