Melalui sidang media misi mencari pesawat MH370 semalam, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammudin menjelaskan pihak berkuasa masih belum menerima latar belakang penumpang dari Ukraine dan Rusia, kesemua latar belakang penumpang lain diterima tetapi tidak dari dua buah negara ini.
“Kami menerima latar belakang individu penumpang yang diperiksa, dari semua negara kecuali Ukraine dan Rusia yang mana mempunyai rakyatnya di dalam pesawat tersebut. Setakat ini tiada maklumat yang penting dalam mana-mana penumpang ditemui,” katanya.
Pesawat MH370 yang hilang dari radar Malaysia pada pukul 2.15 pagi hari yang sama membawa warga China, Malaysia, Australia, New Zealand, Perancis, Amerika Syarikat, Ukraine, Kanada, Rusia, Taiwan dan Belanda juga Iran.
Seperti yang sedia maklum, Rusia dan Ukraine kini sedang bersengketa. Tentera Rusia telah menawan Crimea yang merupakan wilayah Ukraine yang diberikan taraf pemerintahan autonomi. Wilayah itu mengandungi sebuah pangkalan tentera laut milik Rusia. Askar-askar Rusia turut mengepung beberapa buah pusat ketenteraan Ukraine dan menuntut tentera negara itu meletakkan senjata.