Terbaru, Presiden Kesedaran Pencegahan Jenayah, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berpendapat, pihak yang bertanggungjawab tentang misteri kehilangan pesawat MH370 kelihatan seperti telah membuat perancangan teliti dan amat pakar tentang selok-belok penerbangan serta kedudukan radar termasuk cara untuk mengelakkan pesawat itu daripada dikesan. Beliau juga percaya yang pihak tersebut sangat berpengalaman mengendalikan pesawat Boeing 777-200ER itu .
Penganalisis jenayah juga percaya pesawat Malaysia Airlines MH370 itu selamat mendarat di suatu kawasan yang tidak diketahui lokasinya.
Sebelum ini, media telah mendedahkan bahawa kemungkinan ada pihak yang sengaja mematikan sistem komunikasi dalam pesawat itu dan menurut data satelit Inmarsat, pesawat itu dikesan terbang beberapa jam selepas itu.
Dr. Saharuddin juga menjangkakan tiada unsur bunuh diri melibatkan juruterbang pesawat berkenaan.
Dr. Saharuddin berkelulusan Doktor Falsafah Antropologi Sosial dari Universiti Antarabangsa Wisconsin di Amerika Syarikat, dan menaungi beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) selain menjadi tenaga pengajar di Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), cawangan Kuala Lumpur, dalam bidang Antropologi sejak 2009.
Dalam satu laporan lain, seorang juruterbang yang telah mempunyai 20 tahun pengalaman berkata, isu kehilangan MH370 terlalu dirumitkan sedangkan jawapannya mungkin mudah iaitu berlaku kebakaran di kokpit..
Katanya, terputusnya komunikasi termasuk kesan radar munasabah jika berlaku kebakaran kokpit.
Semalam, media ada membuat laporan tentang kemungkinan pesawat MH370 ada melalui kepulauan Maldives ketika hari kehilangan, walaubagaimanapun Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan laporan tersebut adalah tidak benar pada sidang media yang berlangsung petang semalam.
Walaubagaimanapun, apa sahaja pendapat dan kenyataan yang dikeluarkan pakar dan orang berpengalaman kekal sebagai spekulasi dan belum sahih.