Saluran percuma, ntv7 sekali lagi menjadi penyiar sukan terpantas dunia – Kejohanan Formula 1 Grand Prix – di mana pasukan F1 akan meneruskan laluan mereka dari Australia dan kini di Sepang Malaysia untuk GP kedua pada 29 dan 30 Mac dalam kalendar perlumbaan yang ke 19.
Saluran ntv7 akan menyiarkan sesi kelayakan dan perlumbaan Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix 2014 pada hari Sabtu, 3.50 petang dan pada hari Ahad jam 4.00 petang.
“Formula 1 tahun ini bakal menyaksikan lebih banyak drama dan keseronokan dengan peraturan, pemandu dan litar baru. Tidak kira siapa jua yang bakal merebut gelaran juara, kejohanan yang telah lama dianjurkan ini tidak pernah gagal membuktikan kepada dunia yang F1 merupakan siri perlumbaan perdana,” kata Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV.
Selain siaran secara langsung, saluran itu juga bakal membawakan lebih banyak informasi terkini mengenai kejohanan itu menerusi liputan tambahan di edisi beritanya – Edisi 7 (7.00 malam), 7 Edition (8.00 malam), dan Mandarin 7 (10.30 malam) – serta rancangan temubual Harian, Good Morning Tai Tai (8.00 pagi) dan Bella (11.00 pagi).