Keadaan terkini berlaku di Mesir, sebuah mahkamah yang terletak di Minya, Selatan Cairo telah menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong Presiden yang digulingkan, Mohamed Mursi. Mereka disabitkan dengan kesalahan membunuh seorang anggota polis , cubaan membunuh dua lagi pegawai dan serangan ke atas orang awam serta harta benda.
Penyokong Mursi berdepan dengan tindakan keras untuk menghancurkan sokongan mereka oleh kerajaan yang dibentuk tentera sejak Julai lalu. Pasukan keselamatan Mesir telah memenjarakan lebih 16,000 orang sejak rampasan kuasa pada bulan Julai lalu.
Ratusan penyokong telah dibunuh manakala ribuan lagi ditahan. Daripada 529 yang dijatuhi hukuman mati itu, 153 orang berada dalam tahanan manakala selebihnya melarikan diri. Walau bagaimanapun, keputusan hukuman mati itu tidak boleh dirayu.
Kumpulan tersebut yang merupakan ahli-ahli Ikhwan Muslimin yang diharamkan, merupakan sebahagian daripada sebuah perbicaraan yang lebih besar melibatkan 1200 orang penyokong Dr Mursi dan legitimasi.
Sejak penggulingan Dr Mursi oleh tentera pada Julai yang lalu, pihak berkuasa telah melakukan pelbagai tindakan keras terhadap ‘islamists‘ dan penentang-penentang kerajaan.
Menurut Associated Press News Agency, mahkamah tersebut menjatuhkan hukuman hanya selepas dua sesi, di mana peguambela mereka yang tertuduh mengadu mereka tidak diberi peluang membentangkan kes mereka.
Kumpulan tersebut turut disabitkan dengan kesalahan lain seperti membunuh timbalan komander Stesyen Polis daerah Matay di Minya. Serangan berlaku di Selatan Mesir pada bulan Ogos setelah tentera dan polis meleraikan dua perhimpunan pro-Mursi di Cairo yang menyebabkan ratusan terbunuh.
Sejak Julai tahun lalu, Ikhwan Muslimin dan juga aktivis-aktivis lain yang dilihat menentang kerajaan sementara yang disokong oleh tentera menghadapi pelbagai tekanan dan ancaman serta tindakan-tindakan keras ke atas mereka. Ikhwan Muslimin telah diisytiharkan kumpulan pengganas dan pihak berkuasa telah menghukum sebarang bentuk sokongan secara awam terhadap kumpulan tersebut.
Kumpulan kedua yang merangkumi 700 orang penyokong Dr Mursi dan legitimasi bakal melalui perbicaraan pada hari Selasa.