Setiap pasangan pengantin ingin sebuah perkahwinan yang mampu memberikan memori indah yang terpahat dalam sejarah hidup mereka. Tema dan lokasi sesuatu perkahwinan itu penting agar anda tahu perjalanan hari bahagia anda nanti. Bercakap tentang lokasi, apa lokasi yang menepati cita rasa anda dan yang penting budget anda. Jom kita semak.
1. TEPI PANTAI
Jika inginkan kelainan dan suasana romantik, cuba buat majlis perkahwinan di tepi pantai. Tapi perlu diingatkan, bila anda buat di tepi pantai, jemputan mestilah tidak terlalu ramai, kira-kira dalam 100 hingga 200 orang, cukup untuk kaum keluarga, sahabat handai, kenalan rapat. Yang menarik lagi, perkahwinan anda yang disaksikan oleh hamparan lautan luas sambil ditemani deruan angin laut dan ombak. Romantik sungguh!
2. RESTORAN
Lokasi perkahwinan di restoran juga menarik, tetapi kebiasaannya pelamin jarang dibuat di restoran, hanya dengan majlis ringkas potong kek dan sesi beramah mesra dengan tetamu jemputan. Jika anda sukakan kesederhanaan dan ringkas, buat majlis perkahwinan di restoran merupakan idea terbaik.
3. DEWAN SERBAGUNA
Dewan serbaguna di sini meliputi balai raya taman perumahan ataupun dewan sekolah. Jika jemputan yang ramai dalam 1000 orang ke atas ini pilihan terbaik di samping meriah. Mudahnya lagi, dewan tidak perlu sewa khemah tetapi kena book awal sebab ramai yang menanti.
4. RUMAH
Orang kata buat majlis perkahwinan di rumah sangat meriah, kedatangan sanak saudara, sahabat handai dari jauh mampu mengeratkan silaturrahim. Bukan itu sahaja, yang seronok lagi bila anda masak sendiri juadah perkahwinan jadi sesi rewang jiran tertangga meriahkan lagi majlis anda. Cuma bila adakan majlis di rumah, anda perlu alert dengan kaji cuaca kerana takut silap hari bulan hujan satu hari, susah.
5. HOTEL
Jika anda ada budget lebih buatlah di hotel. Yang bagusnya di hotel ialah selesa, dekorasi tidak terhad, servis lebih bagus, nampak lebih eksklusif. Selalunya, quotation harga sewaan bergantung kepada pakej yang disediakan serta taraf hotel tersebut. Pakej yang ditawarkan termasuklah katering, pelayan dan cenderehati. Sekiranya tetamu yang bakal menghadiri majlis lebih kurang 300 hingga 600 orang, maka anda perlu membuat perhitungan budget dengan betul supaya belanja hotel ballroom tidak melangkaui persiapan perkahwinan anda.
6. TAMAN
Garden wedding atau melayunya perkahwinan di taman mula mendapat perhatian bakal mempelai bagi mengabadikan kenangan gerbang perkahwinan mereka di sini. Memandangkan faktor cuaca di Malaysia yang menarik, bakal pengantin lebih gemar mengadakan majlis berkonsepkan santai dan ringkas. Namun, apabila memilih taman sebagai lokasi majlis resepsi anda, anda perlu tahu bilakah masa yang sesuai untuk mengadakan majlis resepsi. Anda pasti tidak mahu faktor cuaca seperti musim hujan berlaku kerana ia mungkin menjejaskan kehadiran tetamu ke majlis tersebut nanti.
Tidak kira di mana jua pun pilihan anda untuk mengadakan majlis perkahwinan, rancang persiapan dan urus bajet dengan betul supaya tiada masalah timbul setelah majlis berakhir.