Berita terbaru mencari pesawat MH370, sebanyak 122 objek dikenal pasti oleh Agensi Remote Sensing Malaysia (MRSA) di kawasan pencarian Australia, kira-kira 2557 kilometer dari Perth.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien, MRSA telah menerima imej satelit baru itu dari Agensi Pertahanan dan Angkasa Airbus yang berpangkalan di Perancis.
Menurutnya imej yang berkemungkinan ada kaitan dengan pesawat MH370 diambil pada 23 Mac di mana Australia, China dan Perancis telah mengedarnya.
“MRSA telah menganalisa imej-imej tersebut di kawasan lautan berukuran 400 kilometer persegi, dan telah kenal pasti 122 objek-objek berpotensi. Ada objek yang berukuran satu meter panjang, yang lain-lainya berukuran 23 meter. Ada juga objek yang kelihatan terang, yang berkemungkinan terdiri daripada bahan pejal,” kata Hishammuddin.
Penemuan terbaru MRSA itu telah diserahkan segera kepada Pusat Koordinasi Menyelamat Australia di Perth, kelmarin. Pihaknya masih tidak dapat memaklumkan sama ada objek-objek itu ada kaitan dengan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines yang hilang sejak 8 Mac itu.
Walau bagaimanapun, katanya ini adalah penunjuk baru yang boleh membantu dalam operasi yang sedang giat dijalankan melibatkan 26 buah negara.
“Kami kini telah mempunyai empat petunjuk satelit berasingan, iaitu dari Australia, China dan Perancis, yang menunjukkan serpihan pesawat. Ia penting bagi kami untuk mengaitkan serpihan dengan MH370. Ini akan membolehkan kami untuk mengurangkan lagi kawasan carian, dan mencari lebih serpihan pesawat,” katanya lagi.
Sumber: Astro Awani