Menurut laporan akhbar Harian Metro, untuk tahun ini, Malaysia akan menganjurkan saingan Formula Satu (F1) dalam suasana suram berikutan tragedi menimpa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370. Dengan juara bertahan Red Bull menyatakan ancaman untuk keluar daripada saingan berprestij itu dan peraturan baru yang mencetuskan rasa kurang senang beberapa pihak, perlumbaan F1 dihimpit pelbagai peristiwa.
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sememangnya berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menyaksikan MH370 berlepas ke Beijing, China sebelum tiba-tiba hilang dari radar pada 8 Mac lalu.
Akibat insiden itu, konsert F1 yang membabitkan artis terkenal Christina Aguilera di Menara Berkembar Kuala Lumpur dibatalkan sebagai menghormati tragedi itu dan pihak penganjur juga membatalkan pertunjukan udara di SIC.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata, di sebalik tragedi itu, jumlah jualan tiket dilihat positif dengan kira-kira 30 peratus tiket pada perlumbaan Ahad ini sudah terjual manakala terdapat lebih daripada separuh lagi tiket masih tidak laku.
Namun Ram Sithambaram, pemilik jualan barangan F1 di KLIA berkata, jualan tiket dan barangan cenderahati agak hambar sejak kali pertama ia dianjurkan pada 1999.
“Sejak seminggu lalu, kami hanya dapat menjual kira-kira 50 keping tiket. Secara perbandingan tahun lalu dalam tempoh sama, kami berjaya menjual kira-kira 1,000 tiket. Kami berdepan situasi hambar ini berikutan tragedi menimpa MH370. Kami mengharapkan keajaiban jualan tiket dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya.
Selain itu, saluran televisyen ntv7 sekali lagi menjadi penyiar sukan terpantas dunia – Kejohanan Formula 1Grand Prix – di mana pasukan F1 akan meneruskan laluan mereka dari Australia dan kini di Sepang Malaysia untuk GP kedua pada 29 dan 30 Mac dalam kalendar perlumbaan yang ke 19.
Saluran ntv7 akan menyiarkan sesi kelayakan dan perlumbaan Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix 2014 pada hari Sabtu, 3.50 petang dan pada hari Ahad jam 4.00 petang.