Siapa tak kenal Kim Jong-Un? Seorang ketua negara Korea Utara yang bukan saja terkenal kerana ‘ketegasan’nya dalam meneraju negara, malahan juga terkenal dengan fesyen rambutnya yang ‘unik’. Kecoh seketika apabila kononnya sejak dua minggu lalu, Kim Jong-Un mengarahkan supaya semua pelajar lelaki di universiti-universiti di seluruh Korea Utara untuk memotong rambut persis dirinya.
Gaya rambut Jong-un memang ringkas atau ‘simple’; biarkan panjang di bahagian atas kepala dan buat belahan di tengah, manakala botakkan di bahagian atas telinga hingga ke belakang kepala. Tetapi sebenarnya ia sukar digayakan.
“Fesyen rambut ketua negara kami sangat rumit. Tak semua orang sesuai dengan gaya rambut sebegini kerana perbezaan bentuk wajah dan bentuk kepala. Ia mungkin sesuai digayakan oleh Kim Jong-Un seorang kerana saiz kepalanya agak besar,” kata salah seorang rakyat Korea Utara. Ada juga rakyat negara itu yang tinggal di China memberitahu gaya rambut seperti itu kurang popular kerana ia hampir sama dengan gaya rambut penyeludup dari China.
Menurut suatu laporan, gaya rambut di Korea Utara haruslah diluluskan terlebih dahulu sebelum ia boleh digunapakai. Setakat ini, terdapat 18 gaya rambut untuk wanita dan 10 gaya rambut untuk lelaki yang telah diluluskan.
Terdahulu, rangkaian televisyen nasional Korea Utara melancarkan kempen anti rambut panjang dan menggalakkan rakyat untuk memotong rambut ikut gaya ‘sosialis’. Kaum lelaki di negara itu juga diminta untuk sentiasa memotong rambut setiap 15 hari sekali supaya mereka akan sentiasa kelihatan seperti ketua negara mereka.
Sejauh mana kesahihan berita ini, pihak Wanista kurang pasti. Walaupun ia telah disampaikan oleh sumber yang boleh dipercayai seperti BBC News dan Mashable, namun berita ini kedengaran seperti sebuah jenaka khabar angin. Jika benar semua pelajar lelaki di universiti-universiti di Korea Utara harus berambut seperti Kim Jong-Un, pastilah nanti timbul kesukaran pengecaman apabila ada yang berwajah mirip ketua negara itu sendiri kelak. Lagipun kami berpendapat, berdasarkan kriteria yang beliau tampilkan iaitu sebagai seorang yang tegas, bukankah lebih baik Jong-Un jadi lain daripada orang lain?
Tapi siapa tahu, kalau kena dengan orangnya lelaki di Korea Utara akan kelihatan kacak seperti Brad Pitt walaupun berambut Jong Un?