Terminal Penerbangan Tambang rendah atau Low-Cost Carrier Terminal (LCCT) akan ditutup pada 9 Mei 2014, bagi memudahkan pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). Berita tersebut diumumkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi.
KLIA2 dijadualkan dibuka pada 2 Mei dengan empat syarikat penerbangan memulakan operasi di lapangan terbang baharu itu. Syarikat penerbangan itu termasuk Cebu Pacific yang berpangkalan di Filipina, Tigerair Mandala yang berpangkalan di Indonesia, Tiger Air yang berpangkalan di Singapura dan syarikat penerbangan hibrid tempatan, Malindo Air.
“Kita berharap AirAsia juga akan pindah ke KLIA2 dalam minggu itu kerana kami akan menutup LCCT dalam tempoh seminggu selepas itu.
“Kami akan pindahkan semua agensi, Imigresen dan Kastam Diraja Malayasia ke KLIA 2,” katanya lagi.
KLIA2 dijangka mampu menampung 45 juta penumpang setahun.
Walaubagaimanapun, AirAsia dan AirAsia X enggan berpindah ke KLIA2, terminal udara baru yang dibina khusus bagi syarikat penerbangan kos rendah, sehingga semua isu-isu keselamatan diselesaikan. Air Asia tidak mahu berganjak dari terminal LCCT, walaupun amaran bahawa LCCT akan ditutup pada 9 Mei depan.
Kumpulan AirAsia telah mengulas kenyataan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi yang mengatakan bahawa KLIA2 akan dibuka seperti yang dijadualkan dan LCCT tidak lagi akan beroperasi selepas 9 Mei.
Datuk Aziz Kaprawi berharap AirAsia akan menyertai pihak berkuasa kerajaan dan empat syarikat penerbangan lain – Malindo Air, Cebu Airlines, Tiger Airways dan Mandala Airlines. Walaubagaimanapun, AirAsia dan AirAsia X berdiri teguh dan mengatakan bahawa mereka masih berpangkalan di LCCT walaupun selepas 9 Mei.
“Langkah untuk pindah ke KLIA2 akan berlaku. Walau bagaimanapun, ia hanya akan dijalankan selepas semua isu keselamatan ini ditangani,” kata Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd.
Lokasi KLIA2
Sumber:Berita Harian, Astro Awani