Untuk makluman peminat setia sitkom TV popular How I Met Your Mother, siri yang ditayangkan di saluran CBS ini akhirnya telah menemui penghujungnya. Namun, nampaknya ramai pengikut setia siri komedi 9 musim ini yang tidak berpuas hati dan kecewa dengan pengakhiran sitkom tersebut setelah menunggu selama 9 tahun.
Sitkom ini mengisahkan tentang Ted Mosby, seorang ayah yang menceritakan semula kisah kepada bagaimana dia dan ibu mereka, Tracy McConnell ( baru didedahkan namanya pada episod akhir) bertemu dan bercinta .
Sitkom 200 episod tersebut, selama ini memaparkan dan mendefinisikan cinta sejati dan kesetiaan seorang suami sebaliknya “diputarkan” plotnya apabila pada episod akhirnya, watak utama sitkom tersebut, Ted akhirnya dipasangkan dengan Robin (bekas isteri kepada kawan baiknya sendiri Barney).
Ringkasnya, penghujung siri ini jelas lari daripada idea dan tema sebenar sitkom tersebut. Ramai yang mengharapkan pengarah akan memberikan “happy ending” kepada siri ini setelah lama menunggu, misalnya, Ted dan watak “mother” (ibu) yang menjadi tajuk sitkom ini sendiri akhirnya bersatu atau sekurang-kurangnya Ted akan terus setia dengannya walaupun setelah dia meninggal dunia.
Pokoknya, How I Met Your Mother bukanlah satu-satunya siri yang mencetuskan kemarahan peminat setianya. Sebelum ini siri popular Gossip Girl (6 musim) juga telah mencetuskan perkara serupa. Mungkin kerana durasi yang terlalu lama sehingga bermusim-musim membuatkan penulis skrip dan pengarahnya ketandusan idea dan mengambil jalan pintas seperti ini.