Betullah masalah mental kian serius di Malaysia. Seorang lelaki yang juga penganggur sanggup mencederakan dua adik dan menumbuk ibunya hanya kerana tersilap membeli pisang goreng dan keropok seperti yang dipesan di kediaman rumah mereka di Kampung Nilam Puri.
Akibat perbuatan itu, Mohd Hafizi Baharuddin, 26, terpaksa meringkuk di dalam penjara selama tiga tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas empat pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Tuduhan Pertama – Dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengangkat sebilah parang hingga mendatangkan cedera kepada adik perempuannya, Rofizah, 24, di Lot 1147, Kampung Nilam Puri, Jalan Kuala Krai, di sini, pada jam 2.30 petang, 5 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Untuk pertuduhan itu, dia dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun.
Pertuduhan Kedua – Tertuduh di tempat, tarikh dan waktu sama turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Rofizah apabila melempar piring kaca dan terkena di belakangnya.
Pertuduhan Ketiga – Dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada ibunya, Sharifah Mamat, 48, dengan menumbuk paha kiri dan berlaku pergelutan.
Pertuduhan Keempat – Tertuduh di tempat, tarikh dan waktu sama didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada adik lelakinya, Mohamad Hafizul, 17, dengan menumbuk di belakang leher dan berlaku pergelutan.
Pertuduhan kedua hingga keempat itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan kedua hingga keempat dan mengarahkannya berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada hari kejadian.
Sumber:Harian Metro