Empat badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yayasan Media Malaysia (MMF), Persatuan Pengguna Islam Antarabangsa dan Batas Malaysia hari ini menyerahkan memorandum bantahan terhadap dua agensi berita dari Amerika Syarikat (AS) iaitu CNN dan Fox News yang didakwa membuat liputan berita tidak tepat serta memberi tanggapan buruk terhadap Malaysia berkenaan tragedi pesawat MH370.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan mendakwa dua agensi berita iaitu Cable News Network (CNN) dan Fox News bukan sahaja mengeluarkan berita tidak tepat malah tidak mempunyai etika kewartawanan dalam liputan tragedi MH370.
“Media mempunyai kebebasan, tapi janganlah melampau sehingga menyebarkan pembohongan.
“Pengamal media perlu lebih bertanggungjawab dalam penulisan berita, kerana berita yang tidak benar boleh mencetus keadaan tidak tenteram dalam kalangan masyarakat,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan AS di Kuala Lumpur, kira-kira 3.30 petang semalam.
Bukan itu sahaja, menurutnya lagi, wartawan CNN yang membuat liputan berita juga seperti tidak mempunyai pengetahuan mengenai negara ini, kesilapannya apabila melaporkan Kuala Lumpur terletak di Indonesia.
Kira-kira 100 penyokong NGO
itu berkumpul di hadapan bangunan kedutaan itu sambil memegang kain rentang tertera perkataan: “Malaysia is not a terrorist country, stop spreading lies about Islam and Malaysia” dan “CNN & Fox News Channel Boycott”.
Beberapa anggota polis berkawal di sekitar bangunan itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
BERNAMA