9 Mei depan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) akan ditutup, walaubagaimanapun syarikat penerbangan Air Asia enggan berpindah atas sebab isu keselamatan di Klia2. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, syarikat penerbangan AirAsia tiada pilihan melainkan berpindah ke klia2 seperti yang dijadualkan dan LCCT tetap akan ditutup pada 9 Mei ini.
Namun, pada masa yang sama, kerajaan menerusi Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sedia mendengar dan meneliti sebarang masalah atau isu-isu berbangkit daripada pihak syarikat penerbangan tambang murah itu.
Kalau mereka buat kenyataan enggan berpindah, itu bunyinya seperti kenyataan yang sombong. Tetapi kalau mereka sebut ada sebab untuk keberatan berpindah dan ingin berunding dengan kerajaan, saya fikir cara seperti itu lebih sesuai.
Sepatutnya kalau ada masalah, dari dulu sudah dibangkitkan. Sekarang projek itu (klia2) sudah siap, tidak boleh kata tidak mahu berpindah. Mereka perlu berpindah,” katanya.
Perdana Menteri diminta mengulas kenyataan Kumpulan AirAsia sebelum ini yang memutuskan akan terus beroperasi di LCCT walaupun bersedia berpindah ke klia2 tetapi perpindahan tersebut hanya setelah semua isu berbangkit diselesaikan. AirAsia juga mendedahkan wujud mendapan di landasan dan laluan serta tempat meletak pesawat di klia2 yang memerlukan langkah-langkah pemulihan.
Syarikat penerbangan tambang murah itu mendakwa, mendapan itu akan mengganggu operasi had penerbangan seperti AirAsia yang mengendalikan kira-kira 400 pergerakan pesawat sehari dan memiliki sekurang-kurangnya 70 pesawat di LCCT. Semalam, Pengurus Besar Kanan (Operasi) MAHB, Datuk Azmi Murad dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia, menafikan dakwaan landasan klia2 tidak selamat digunakan, sebaliknya ia diperakui oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) sebagai boleh digunakan.
MAHB tetap akan menutup operasi LCCT pada 9 Mei ini, seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.
UTUSAN, BERNAMA